AMANAH sebulat suara sokong Anwar PM

AMANAH sebulat suara sokong Anwar PM

Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri menerusi akaun bersumpah (SD) yang telah ditandatangani.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita seolah-olah sokongan Amanah kini berbelah bahagi antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Laporan itu tidak tepat dan perlu diperbetulkan. Hanya parti Amanah tidak bersetuju menyerang dan mengutuk Dr Mahathir kerana kita menganggap pembangkang adalah dalam satu kumpulan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presidennya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mohamed Hanipa Maidin.

Khalid berkata, pimpinan Amanah sedar terdapat pihak cuba melaga-lagakan pimpinan parti itu dengan pihak lain termasuk dengan Anwar dan Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Kami sokong Anwar tetapi kami berbeza dengan sesetengah pihak. Kita tak serang Dr Mahathir, tak serang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan (Parti Warisan Sabah).

“Ada orang luar Amanah nak laga-lagakan kami agar berpecah. Ini tak bijak dan tak wajar,” kata Khalid.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, Amanah berusaha agar kumpulan Dr Mahathir dan Mohd Shafie dapat mengambil pendekatan secara bersama terhadap Belanjawan 2021.

Sumber: Sinar Harian