AMK mahukan anak muda jadi ‘poster boy’, bukan Anwar

AMK mahukan anak muda jadi ‘poster boy’, bukan Anwar

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mencadangkan poster Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak digunakan sebagai poster-boy dalam PRN Johor.

Gambar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak akan digunakan sebagai poster-boy dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sebaliknya berkata gambar poster-boy mestilah terdiri dikalangan anak muda, malah membidas usaha parti-parti yang mahu menggunakan gambar pemimpin utama mereka dalam PRN Johor nanti.

“Poster-boy yang perlu diangkat adalah suara anak muda, jangan biarkan mereka terus dibelenggu tekanan ekonomi, kerja mengejar komisen untuk dapatkan rezeki hingga menggadai keselamatan nyawa, bukan nama-nama pemimpin politik.

“Jika tidak percaya letaklah Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi); Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), pengundi khususnya anak muda akan tolak semua itu,” katanya dipetik laporan Utusan Online.

Akmal terdahulu berucap semasa pelancaran jentera sayap pemuda PKR itu di Johor Bahru hari ini.

Ucapan tersebut dibuat dalam program yang turut dihadiri dan dirasmikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Bagaimanapun, Akmal yang dikenali sebagai anak buah Rafizi Ramli, bekas Naib Presiden PKR itu tidak pula memetik nama Anwar dalam ucapan yang menyentuh isu poster-boy tersebut sebaliknya dengan memberikan nama pemimpin parti lain.

Selain itu, Akmal juga membidas ahli politik yang tidak menghiraukan kepentingan dan kebajikan rakyat yang sedang bergelut dengan kesusahan kehidupan ketika ini.

“Anak muda tidak kira sama ada kerja sendiri, kerja swasta mahupun kerja kerajaan berhempas pulas setiap hari sedangkan orang politik cerita politik tidak habis-habis,” katanya lagi.

Sementara itu, AMK turut menggesa rakyat untuk mengambil peluang PRN Johor dengan menghukum pemimpin dan parti politik yang bercakaran sesama mereka sehingga menyebabkan terbubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Masalah yang berlaku ketika ini melibatkan pemimpin dalam UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), tetapi orang Johor pula yang dihukum.

“Mereka bergaduh sesama mereka tetapi rakyat Johor diheret dalam PRN. Kerja gila adakan PRN pada waktu sekarang ini dalam tempoh pandemik Covid-19 masih tinggi, ekonomi juga tidak stabil dan dengan khabar angin pilihan raya umum juga semakin dekat,” jelasnya.