Anak cucu tak kunjung tiba, rupanya maut kemalangan balik raya

Anak cucu tak kunjung tiba, rupanya maut kemalangan balik raya

 

Menjelang lebaran ini, pasti umat Islam sudah mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Raya Aidilfitri bersama ibu bapa dan sanak saudara.

Manakala ibu bapa di kampung pula, mesti tidak sabar menunggu dan menanti-nanti kepulangan anak, menantu dan juga cucu.

Kiriman pesanan di WhatsApp jadi perbualan terakhir

Pun begitu, lain pula dengan cerita seorang lelaki ini apabila kiriman pesanan daripada anaknya menerusi aplikasi WhatsApp pukul 5.00 pagi menjadi penghubung terakhir sebelum si anak maut dalam satu kemalangan.

Difahamkan, mangsa yang juga seorang pemandu e-hailing telah terlibat dalam kemalangan maut bersama anak perempuannya di Pulau Kerengga, Marang semalam (19 April).

Singgah untuk sahur yang terakhir

Menurut bapa mangsa, Abdul Ghani Sulong yang berusia 69 tahun itu, pesanan terakhir anaknya Subhi Sayuti, 43, memberitahu mereka singgah sahur di Kijal, Kemamam sebelum meneruskan lagi perjalanan.

Abdul Ghani kemudiannya ke surau untuk solat subuh sementara menanti ketibaan Subhi Bersama anak perempuan sulung, Syuhada Hafiya, 7.

“Lama saya menunggu namun Subhi yang ditunggu tidak kunjung tiba. Pada mulanya saya menyangkakan dia mungkin berhenti berehat.

“Begitupun, kami kemudiannya dikejutkan dengan berita arwah telah meninggal dunia dalam kemalangan manakala cucu saya kritikal pada pukul 10 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo semalam.

Cucu pula meninggal dunia sebaik tiba di hospital

Menurutnya lagi, dia juga menerima berita sedih kedua apabila dimaklumkan bahawa cucunya juga meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Ikut perancangan asal, arwah anak saya dan anak sulungnya sepatutnya beraya dengan kami di Taman Hidayah, Marang manakala isterinya, Nurhaliza Henderi, 30-an, dan anak bongsu mereka pula beraya di Sandakan, Sabah.

“Isterinya berhajat beraya di kampung halamannya kerana sepanjang perkahwinan mereka, belum dia pernah meraikan Aidilfitri di Sabah. Anak saya (Subhi Sayuti) mengizinkannya,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kemalangan yang berlaku ini amat memberi kesan yang mendalam kepada keluarganya, namun mereka tetap reda dengan ujian Allah SWT.