Anak dan menantu positif Covid-19, Timbalan Menteri kontroversi jalani kuarantin

Anak dan menantu positif Covid-19, Timbalan Menteri kontroversi jalani kuarantin

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Che Abdullah Mat Nawi, kini menjalani kuarantin kendiri selepas anak lelaki dan menantu yang tinggal bersamanya di Putrajaya didapati positif Covid-19.

Anggota Parlimen Tumpat itu bagaimanapun memaklumkan, dia dan isteri serta ahli keluarga lain tidak dijangkiti.

“Kini, kami sekeluarga sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

“Mohon maaf kepada semua pihak yang berkenaan kerana saya tidak dapat berkhidmat secara fizikal buat masa ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pun begitu Che Abdullah memberitahu dia tetap masih boleh memberi komitmen kepada tugasnya secara maya.

Sehubungan itu Che Abdullah berkata, dia memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan kepada anak dan menantunya serta keluarga mereka dilindungi daripada wabak tersebut.

“Dengan rasa rendah hati, saya memohon agar didoakan kesembuhan kepada anak dan menantu serta dilindungi saya sekeluarga daripada wabak ini agar dapat melaksanakan komitmen yang diamanahkan dan dapat kembali bersama rakyat sebagaimana biasanya,” katanya.

Sumber – Malaysiakini