Anak dedah bapa berubah selepas kahwin dengan Miera Liyana

Anak dedah bapa berubah selepas kahwin dengan Miera Liyana

 

Anak tiri pelakon Miera Leyana mendedahkan bapanya mula berubah sejak berpoligami dengan artis berkenaan.

Nur Izzah Rosland berkata, bapanya sebelum ini yang dikenalinya bukan seperti itu dan jauh berbeza dengan sekarang, lapor portal Boom.

“Dahulu dia seorang ayah yang rapat dengan kami, sekarang hampir dua tahun dia tak pulang.

“WhatsApp saya disekatnya setelah saya bertanya kenapa ambil Anisa tanpa pengetahuan kami.

“Nafkah anak-anak biasanya dibayar jika ada resit pembelian, tindakan ini ternyata melukakan hati anak-anak.

“Nafkah ibu telah lama dia culas sejak dia berpoligami.

“Kenapa ayah berubah? Hilangkah rasa ihsan ayah pada kami?” soalnya kecewa.

Nur Izzah menambah, adik perempuannya, Anisa telah diambil dari sekolah tanpa pengetahuan ibunya sejak 12 Februari lalu.

Ibunya masih dalam trauma dan kesedihan kerana tidak tahu di mana Anisa dibawa dan masih belum pulang.

Rosland dilaporkan telah menyekat telefon isteri pertamanya dan tidak pulang ke rumah mereka sejak September 2021.

“Cara ambil Anisa itu buatkan kami semua trauma, terkejut dan sedih kerana adik diambil oleh bapa saudara, Kamarul Othman bersama isterinya tanpa pengetahuan kami.

“Kenapa bukan ayah yang ambil sendiri? Kenapa tidak beritahu kami?” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hakim asal, Yusof Sulaiman bagi mendengar prosiding nusyuz madu Miera iaitu Adibah Abdul Mutalib.

Hakim, Abdul Fattah Kamaruddin telah membenarkan permohonan peguam mewakili Adibah selaku defendan, Fatimawati Ismail.

Adibah merupakan isteri pertama Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, sebuah anak syarikat Serba Dinamik, Rosland Othman, sebelum berpoligami dengan Miera Leyana pada 26 Julai 2020.

Peguam yang mewakili Rosland, Datuk Amli Embong enggan memberi komen manakala Rosland bergegas meninggalkan dewan ketika media ingin menemu bual.

Rosland ditemani oleh ibu dan abang Miera iaitu Aisah Abdullah serta Md Fadley Kasmi bersama dua orang adik Rosland, Kamarul dan Hafeez Othman.