‘Anak emas’ Hj Hadi pertahan tindakan merasmikan mesin ATM oleh MP Besut

‘Anak emas’ Hj Hadi pertahan tindakan merasmikan mesin ATM oleh MP Besut

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, hari ini tampil mempertahankan tindakan Che Mohamad Zulkifly Jusoh merasmikan mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di Besut baru-baru ini.

Walaupun tindakan itu menerima kecaman warga maya, Syahir berkata mesin ATM itu besar manfaatnya bagi penduduk yang berada di kawasan terceruk seperti itu.

“Ramai dalam kalangan netizen yang ‘mempersendakan’ upacara perasmian mesin pengeluaran wang ATM di sebuah stesen minyak, di daerah Besut, Terengganu.

“Bagi kita yang tinggal di bandar mahupun pinggir bandar, akses kepada mesin ATM dan cawangan bank yang berdekatan dianggap sebagai perkara kecil yang tidak perlu dicari, apatah lagi diminta untuk disediakan.

“Namun bagi penduduk di daerah terceruk, perkara ini adalah sebaliknya,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan banyak pihak mempersenda atau mengecam tindakan Che Mohamad selepas ahli parlimen Besut itu merasmikan seunit mesin ATM di sebuah stesen minyak di kawasannya.

Ia disempurnakan dengan acara memotong riben.

Untuk rekod orang ramai ‘membahan’ Che Mohamad kerana majlis perasmian berkenaan, bukannya membabitkan keperluan mesin ATM di kawasan tersebut.

Mereka berpendapat membuat majlis perasmian sebegitu sebagai aneh kerana mesin ATM sudah digunakan secara berleluasa di seluruh Malaysia, bukannya seperti pada era 1990-an.

“Seriuslah, mesin ATM pon rasmi potong reben.

“Kita di zaman bila ni weh?” tulis seorang pengguna maya, seperti dilaporkan sebuah portal berita yang dikaitkan dengan Amanah.

Peringatan buat diri sendiri

Pengguna maya juga menyindir acara itu yang kelihatan ‘bersungguh-sungguh’, siap dengan acara perasmian melalui pemotongan reben.

Mengulas lanjut, Syahir berkata daerah Besut sama seperti Bachok kerana terpelak di kawasan luar bandar dan majoriti penduduknya terdiri daripada golongan petani, nelayan, warga emas dan golongan miskin.

Dia yang juga setiausaha politik Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, kemudahan mesin ATM mungkin kecil di mata orang lain namun cukup besar manfaatnya kepada masyarakat setempat.

“Maka tidaklah mengejutkan apabila di Bachok, antara perkara yang diminta oleh pengundi dalam PRU ke-15 yang lalu, khususnya dalam kalangan pengundi muda, adalah untuk diwujudkan cawangan bank di Bachok dan perbanyakkan mesin ATM di Bachok.

“Ya, itulah antara perkara ‘besar’ yang diminta kepada saya untuk diusahakan.

“Justeru peringatan kepada diri saya, mungkin perkara yang dianggap ‘kecil’ di mata kita, boleh jadi ‘besar’ di mata pihak yang lain,” katanya lagi.