Anak Hamzah Zainuddin didakwa 9 pertuduhan kemuka dokumen palsu & memiliki minyak masak lebih had

Anak Hamzah Zainuddin didakwa 9 pertuduhan kemuka dokumen palsu & memiliki minyak masak lebih had

 

Dua pengarah syarikat termasuk anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, 39 dan Azizul Abdul Halim, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak telah memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen / Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 5 petang di pejabat KPDN, Seremban 2, pada 12 Ogos 2022.

Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (2) akta sama.

Tertuduh juga selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50.00 MT.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas , Senawang, di sini pada 11 Ogos 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah mahu memberikan jaminan, dia memohon menetapkan satu nilai jaminan tinggi dengan mengambil kira jumlah pertuduhan.

Mohd Sophian berkata, kes itu membabitkan barang kawalan minyak masak yang mana ia adalah kes berkepentingan awam.

“Seperti semua maklum yang kerajaan amat memberi penekanan terhadap makanan seperti minyak masak yang menjadi krisis di negara kita,” katanya.

Peguam Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mahkamah tidak terpengaruh dengan jumlah pertuduhan terhadap tertuduh yangbelum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah.

Katanya, wang jaminan tidak boleh bersifat berlebihan kerana boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan serta tidak mengikut prinsip undang-undang.

“Tertuduh juga telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat semasa siasatan dijalankan dan ini juga merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah.

“Tiada risiko untuk Muhammad Faisal melarikan diri kerana dia menetap di Ampang Selangor bersama isteri yang sedang sarat mengandung serta tiga anak manakala Azizul pula tidak lagi bekerja dan mempunyai 10 anak yang empat daripadanya masih bersekolah.

Tambahnya kedudukan ekonomi kedua-dua tertuduh juga perlu diambil kira.

Mahkamah menetapkan jaminan bagi setiap tertuduh RM40,000 dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen 7 Jun ini.