Anak Hj. Hadi keluar kenyataan terkini kesihatan ayahnya

Anak Hj. Hadi keluar kenyataan terkini kesihatan ayahnya

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kini menerima rawatan di hospital selepas kesihatannya merosot sejak sebelum Aidiladha lalu.

Memetik Malaysiakini, perkara itu dimaklumkan anaknya Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi catatan di Facebook pagi ini.

“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan ayahanda Tuan Guru.

“Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” katanya.

Bagaimanapun Muhammad Khalil, yang juga Adun Batu Buruk tidak memaklumkan lokasi hospital Abdul Hadi dirawat.

Menurutnya Abdul Hadi telah berada dalam keadaan uzur ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Terengganu pada 27 Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Marang itu tetap mengagahkan diri untuk hadir program berkenaan.

“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Khalil ketika dihubungi mengesahkan Abdul Hadi menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu dan berada dalam keadaan stabil.

“Stabil, perlu rehat secukupnya,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Kali terakhir Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke hospital ialah pada Februari tahun lalu.

Dia ketika itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.