“Anak nafi dia lahirkan bayi, tetapi saya nampak lelehan darah di betisnya”

Bimbang rahsia diketahui ibunya, seorang remaja perempuan memutar belit cerita memaklumkan kepada ibunya dia terdengar tangisan bayi di belakang rumah.
Namun begitu, lelehan cecair (darah) turun di betis anaknya menimbulkan persoalan tetapi remaja tersebut menafikan bayi tersebut merupakan anaknya dan mendakwa sedang datang bulan.
Dakwaan remaja terbabit telah membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan di belakang rumah di Kampung Geting, di Tumpat, dalam keadaan berbogel dan sudah kebiru-biruan, dipercayai baru dilahirkan.
Anak call, minta ibu pulang segera
Bayi itu disyaki dilahirkan jam 9.30 pagi oleh remaja berusia 18 tahun secara bersendirian tanpa pengetahuan keluarga.
Ibu remaja itu yang mahu dikenali sebagai Liza, 37, berkata, dia dihubungi anak perempuannya itu memaklumkan terdengar jeritan bayi dari belakang rumah. Anaknya mendakwa ada individu membuang bayi.
“Saya ketika itu sedang bekerja di kedai kopi. Selepas menerima panggilan anak, saya tidak terus pulang kerana sedang membungkus nasi untuk pelanggan.
“Tidak lama kemudian, anak menelefon sekali lagi dan saya meminta seorang saudara ke lokasi yang diberitahu untuk memastikan kesahihan berita itu.
“Selepas keadaan di tempat kerja sedikit tenang, saya pulang ke rumah dan melihat jiran sedang memangku bayi perempuan . Saya terus bertanyakan anak perempuan adakah bayi itu anak dia namun dia nafikan,” katanya.
Ibu tak tahu anaknya mengandung
Liza yang berasal dari Sungai Golok, Thailand berkata, jiran memberitahu ketika bayi perempuan itu ditemui, tali pusatnya sudah dipotong. Urinya pula siap ditanam tidak jauh dari tempat bayi itu dijumpai.
Menurutnya, anaknya masih belum berkahwin dan tidak tahu jika remaja itu mengandung kerana fizikalnya yang memang semula jadi berisi.
Dia berkata, anaknya itu baru menetap bersamanya sejak Ramadan lalu selepas bapa kandung yang juga bekas suami Liza meninggal dunia akibat serangan strok.
Tiada perubahan ketara pada fizikal anak
Buntu memikirkan perkara yang berlaku, wanita ini terpaksa menghubungi polis. Anaknya dan bayi perempuan itu dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
Liza berkata, anaknya itu tidak menunjukkan perubahan ketara. Sebaliknya memberitahu rasa kurang sihat dan terasa lapar ketika bangun dari tidur kira-kira jam 1 pagi tadi.
Menurutnya, sebelum turun bekerja ke kedai kopi jam 4 pagi, Liza sempat memasak untuk remaja perempuan itu yang dikatakan demam. Tetapi tidak memikirkan apa-apa yang pelik mengenainya.
“Beberapa jam selepas itu saya dikejutkan dengan berita penemuan bayi perempuan oleh anak dan lebih mengejutkan ia mungkin dilahirkan anak saya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu dan siasatan lanjut sedang dibuat.