Anak Nazri tempelak sikap kekampungan anak muda Malaysia
Mohamed Nedim Nazri menempelak sikap orang ramai di media sosial yang membangkitkan isu air botol mineral jenama Evian.
Anak bekas menteri Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga kini Ahli Parlimen Padang Rengas mempersoal bagaimana golongan muda ini akan menjadi pemimpin akan datang.
Jenama minuman dengan sumber airnya dikatakan digali di French Alps itu hangat diperkatakan di Twitter selepas dikesan ‘muncul’ dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 31 Januari lalu.
“Teruk sangat orang bebal sekarang ni, pasal air mineral pun depa cari point.
“Generasi muda jenis ini nak jadi pemimpin masa depan? Mampuih,” kata Nedim, 39, di Twitter.
Untuk rekod, ‘Evian’ muncul sohor dengan 18,000 ciapan di Twitter setakat jam 3.30 petang ini.
Nedim yang juga suami kepada pelakon cantik, Nora Danish itu sebelum ini dikecam selepas mengeluarkan kenyataan mendakwa mangsa banjir ‘demand’ kerana meminta pelbagai barangan termasuk selimut dan gula.
Komentar Nedim berkenaan air botol Evian itu kemudiannya mengundang reaksi warganet.
Antaranya, Mohammad Faeez Harith yang menegaskan sebotol air minuman itu boleh membeli separuh ekor ayam.
“Itu boleh sara hidup keluarga kecil untuk dua hingga tiga hari makan. Ah engkau, mangsa banjir minta gula dengan selimut pun kau dah membebel, koyak,” katanya.
Sementara itu, pengguna Twitter @mystiquevelvet pula berkata, orang istimewa yang dibesarkan dengan sudu perak tidak akan pernah memahami nasib rakyat biasa.
“… saya khuatir anda tidak dibesarkan oleh ibu bapa anda untuk mempunyai belas kasihan atau empati,” ujarnya lagi.
Bagi Farhan Akhbar pula secara sinis bertanyakan sama ada wujud atau tidak anak-anak ahli politik Umno yang bijak.
“Tiada seorang pun anak ahli politik Umno yang pandai-pandai ke? Dari anak presiden hingga anak menteri besar, anak ahli parlimen semua sama bangang saja,” kecamnya.