Angeline Tan nafi hamil, Sabri Yunus geli hati baca berita tular, anggap fitnah ‘paling kelakar’
PELAKON Angeline Tan, 57, menafikan dirinya sedang hamil seperti mana didakwa dalam sebuah berita yang tular di TikTok, baru-baru ini.
Angeline atau nama Islamnya, Ardini Angeline Tan, 57, berkata, dia sendiri tidak mengetahui punca spekulasi tersebut tersebar.
“Tak adalah. Tidak tahu siapa yang kata,” katanya.
Dia berkata demikian menjawab pertanyaan seorang individu mengenai desas-desus kehamilannya dalam Facebook.
Sementara itu, suaminya iaitu pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 63, menerusi hantaran di Facebook mengakui berasa geli hati membaca berita yang tular itu.
“Hari paling kelakar sepanjang enam bulan yang lalu. Viral cerita fitnah paling kelakar.
“Kepada orang yang memulakan isu ini tidak rasa bersalah atau tak rasa berdosa pun?
“Dan juga kepada yang menyambut dan menyambung viralkan cerita ini tidak kah dia rasa yang serupa (bersalah)?
“Bukan apa, puas nak menjawab pada kawan-kawan yang bertanya mahu pengesahan. Ada kawan kata ‘tidak apa berita baik’. Haha saya kata tak baik, itu fitnah,” katanya.
Terdahulu, sebuah blog memuat naik berita mendakwa Angeline sedang hamil dengan usia kandungan memasuki satu bulan.
Susulan itu, ruangan komen hantaran tersebut dihujani dengan ucapan tahniah buat pasangan selebriti berkenaan.
Untuk rekod, Sabri dan Angeline bernikah pada 14 Oktober tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di Kangar, Perlis.
Sabri sebelum ini kehilangan isteri, Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sementara itu, Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.