Annuar jumpa Muhyiddin selepas Umno ancam keluar PN

Annuar jumpa Muhyiddin selepas Umno ancam keluar PN

Setiausaha Agung BN Annuar Musa dilihat hadir ke rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur petang ini.

Ia berlaku selepas perhatian umum tertumpu kepada Umno dan Bersatu selepas Biro Politik Umno mengumumkan mempertimbangkan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Annuar bagaimanapun ketika ditemui Malaysiakini berkata itu hanya lawatan biasa kerana mereka sebenarnya berjiran.

“Tiada ada, perjumpaan biasa.

“Kita kan jiran,” katanya selepas keluar dari perkarangan rumah Muhyiddin jam 6.11 petang tadi.

Ketika Malaysiakini tiba di perkarangan rumah pengerusi Bersatu itu pada jam 5.30 petang tadi, kereta anggota parlimen Ketereh sudah kelihatan di situ.

Pada jam 5.52 petang pula, muncul kereta lain yang mempunyai tulisan “Istana Negara” dalam tulisan Jawi di atas nombor pendaftarannya.

Sementara itu, ditanya sama ada perjumpaan dengan Muhyiddin mempunyai kaitan dengan kemelut politik Umno-Bersatu, Annuar menafikannya.

“Tiada, saya saja (yang ada di rumah Muhyiddin),” katanya lagi.

Selasa lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia berkata telah menyerahkan akuan bersumpah dan surat berkaitan sokongan “lebih 120” anggota parlimen yang didakwa menyokongnya.

Bagaimanapun, menurut istana, Anwar tidak menyerahkan senarainya.

Di sebelah malam, pada hari sama, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengumumkan keputusan Biro Politik Umno untuk membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong PN.

Katanya, Umno akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Sementara itu, ditanya tentang kesihatan perdana menteri, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata:

“Alhamdullilah, sihat.”

Pada 5 Oktober lalu, perdana menteri dan beberapa menteri lain menjalani kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19.

Sumber : Malaysiakini