Annuar Musa beri bayangan bertanding PRU15 guna logo PN

Annuar Musa beri bayangan bertanding PRU15 guna logo PN

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukan sama ada beliau akan dicalonkan bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau turut mengesahkan setakat ini belum menerima surat atau sebarang jemputan berkaitan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan malam ini.

Katanya parti memiliki sistem tersendiri dalam memilih calon, justeru semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada parti khususnya pucuk pimpinan untuk menentukan serta memilih siapa yang parti fikir patut menerima watikah dan mewakili parti.

“Soal calon macam saya kata bukan benda yang harus kita minta-minta, lobi-lobi. Kalau kita difikirkan oleh pucuk pimpinan atas apa juga asas pertimbangan maka itu kita hanya alat untuk parti memberi watikah dengan logo parti kita masuk.

“Kalau parti tidak pilih itu bukanlah pengakhiran segalanya. Tetapi itu juga tidak menyekat kita nak bertanding kita boleh juga bertanding, beli borang, bayar deposit… semua orang boleh bertanding.

“Dari sudut kita sebagai ahli parti, bagi saya pendirian saya tidak akan lobi, tidak akan minta, tidak akan merayu. Kita serah bulat-bulat kepada parti dan saya difahamkan malam ini ada surat jemputan majlis pengumuman jadi saya fikir ahli-ahli parti terima sajalah apa yang parti putuskan,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia turut mengesahkan tawaran sebagai calon kerusi Parlimen Ketereh telah diberikan kepada Ketua Puteri Umno Bahagian Ketereh Marzuani Ardila Ariffin.

“Ketua Puteri saya dipanggil dan ditawarkan. Sama ada beliau terima atau tidak, itu saya tidak tahu kerana mereka masih lagi berunding,” katanya.

Annuar berkata Marzuani Ardila ada merujuk kepada beliau mengenai tawaran tersebut.

“Saya kata dalam politik ini tanyalah hati sendiri yang penting bila bertanding biarlah menang. Kalau kita rasa menang kita boleh sumbang satu kerusi kepada parti kita, itu benda yang sebaik-baiknya.

“Jangan bertanding hanya untuk bertanding, kalau rasa boleh menang baguslah bertanding ini untuk menang (kerana) bayar deposit, berkempen berhabis beratus ribu (malah) berjuta untuk sesetengah orang,” katanya.