Annuar tempelak dakwaan Zahid, hanya 99 bahagian Umno tolak kerjasama dengan Bersatu

Annuar tempelak dakwaan Zahid, hanya 99 bahagian Umno tolak kerjasama dengan Bersatu

Dakwaan mengatakan 143 daripada 191 ketua Umno bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan PPBM kurang tepat, kata Annuar Musa

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa mendakwa, berdasarkan maklumat diterimanya, hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama Umno dengan PPBM.

“Dari maklumat yang diberitahu kepada saya setakat ini, usul sedemikian dibuat oleh 99 bahagian yang secara terang-terangan menolak PPBM.

“Ada (bahagian) yang terima Anwar Ibrahim, tak terima DAP. Usul ini pelbagai,” katanya pada sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Annuar berkata, daripada 191 bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat bahagian masing-masing, hanya dua yang tidak mengadakan mesyuarat tersebut.

Beliau turut mendedahkan, Umno menolak cadangan PAS supaya Muafakat Nasional (MN), yang merangkumi dua parti itu didaftarkan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar Abdullah bahawa MN tidak boleh didaftarkan kerana ia sudah didaftar pihak lain.

Katanya, masalah mendaftarkan MN tidak ada kaitan dengan alasan diberikan Mohd Amar, sebaliknya mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan kepimpinan Umno tidak mendaftarkan MN.

“Keputusan mesyuarat berubah-berubah. Saya sendiri pada satu peringkat diarah membuat draf perlembagaan MN dan sebagainya. Kemudian pada Nov, presiden mengarahkan supaya ia tidak didaftarkan.

Ahad lalu, Zahid berkata, 143 dari 191 bahagian Umno (74.8%) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin pada PRU15.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/06/hanya-99-bahagian-umno-tolak-kerjasama-dengan-ppbm-kata-annuar/?fbclid=IwAR0U8hnm1COA38C9eTFjC4p2dxOXbysd66n0K1ihSKn48sCZYL9VRzDXIqU