Annuar Zaini nafi keluar kenyataan yang tular di media sosial

Annuar Zaini nafi keluar kenyataan yang tular di media sosial

Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa tiada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS akan dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.

Beliau berkata kenyataan itu yang tular menerusi media sosial hari ini adalah palsu dan bertujuan memfitnahnya.

“Saya sedang mendapatkan nasihat sama ada perlu buat laporan polis mengenai tular itu,” katanya kepada Bernama di Ipoh hari ini.

Kenyataan yang tular itu dibaca: “lima lagi Exco Perak angkat sumpah petang ini. Namun, pelantikan itu tidak melibatkan Adun PAS, kata Mohd Annuar Zaini. Cukup dah 10 Exco. Amacam?”

Terdahulu, Mohd Annuar ketika ditemui media di luar Istana Kinta di sini, memberitahu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan untuk lima lagi ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco petang ini, namun beliau tidak menyatakan sebarang nama.

Pada 10 Dis lalu, empat daripada lima Adun yang mengangkat sumpah merupakan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini, iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).

Seorang lagi ialah muka baharu iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik).

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555334