Anwar beri bayangan Muhyiddin mungkin berdepan beberapa lagi kes mahkamah selepas ini

Anwar beri bayangan Muhyiddin mungkin berdepan beberapa lagi kes mahkamah selepas ini

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan untuk memberi perhatian terhadap kes mahkamah yang sedang dihadapi beliau ketika ini.

Memetik Kosmo!Online, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nasihat tersebut diberikan selepas Muhyiddin membuat gesaan agar beliau meletakkan jawatan.

“Dia buat gesaan itu berlandaskan faktor apa kerana pentabdiran negara ketika ini masih lagi dikuasai oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kita kekalkan kemenangan tiga negeri, kita masih dapat dua pertiga majoriti ahli parlimen, dia buat perkiraan apa? Saya nasihatkan dia tumpu sahaja kes mahkamah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menyifatkan kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan.

Selepas Pilihan Raya di enam negeri minggu lalu, Muhyiddin turut menyifatkan kerajaan yang diterajui Anwar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai gabungan politik rapuh serta hanya perpaduan palsu.