Anwar mahu kerajaan perluas kriteria pengeluaran akaun 1 KWSP, tidak terhad kepada golongan hilang pekerjaan sahaja

Anwar mahu kerajaan perluas kriteria pengeluaran akaun 1 KWSP, tidak terhad kepada golongan hilang pekerjaan sahaja

Dasar pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diteliti semula dan diperluaskan supaya mencakupi golongan yang ketika ini berdepan tekanan kewangan, susulan pandemik COVID-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengalu-alukan pertimbangan kerajaan untuk meluluskan pengeluaran sedemikian berkata segelintir segmen rakyat di negara ini mengalami kesukaran untuk menyara kehidupan keluarga.

Beliau mengakui hujah kerajaan bahawa simpanan Akuan 1 KWSP adalah untuk jaminan masa depan sangat berasas, namun pengecualian khas ke arah pengeluaran dana ‘hari tua’ itu dilihat relevan dengan perkembangan pandemik kesihatan semasa.

“Tetapi apabila sesak masa sekarang ini, jumlah pinjaman harus diperluaskan, bukan hanya terhad kepada satu kategori kecil,” katanya dalam rakaman reaksi ringkas, selepas pembentangan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah hingga RM6,000 untuk tempoh selama 12 bulan.

Pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan turut menimbulkan keresahan berhubung unjuran kerajaan bagi 2020, justeru aspek berkenaan akan dijadikan antara inti pati perbahasan belanjawan minggu depan.

Meneliti perbezaan kutipan cukai korporat, katanya, kerajaan menyasarkan hasil yang agak optimis iaitu RM59.385 bilion pada tahun ini, berbanding RM63.751 bilion untuk 2019.

“Ia hanya berkurangan sekitar RM4 bilion. Itu sukar diterima kerana banyak perniagaan yang hampir muflis dan gulung tikar, hanya mampu menjana keuntungan kecil, berbanding satu dua seperti Top Glove,” katanya.

Sumber: Berita Harian