Anwar sambut dingin hasrat Rafizi buat ‘comeback’

Anwar sambut dingin hasrat Rafizi buat ‘comeback’

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak kunci mulut dan enggan melayani pertanyaan pemberita apabila diajukan mengenai hasrat Rafizi Ramli ingin kembali ke arena politik tanah air.

Sebaliknya beliau meminta isu berkaitan politik ditangguhkan selewat-lewatnya lusa bagi memberi laluan dan menghormati majlis memperingati tokoh agamawan, Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, lapor portal akhbar MalaysiaGazette.

“Saya tak minat bincang soal lain (politik) melainkan institusi ini (Siddiq Fadzil) nanti tenggelam isu ini.

“Soalnya hanya untuk Siddiq Fadzil, yang lain saya tangguh esok atau lusa,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Selangor (Unisel), di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar menyampaikan syarahan perdana pada Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil dan Pelancaran Institut Pemikiran, Kepimpinan, Kursi serta Pelancaran Buku Karya Siddiq Fadzil.

Rafizi bersara daripada politik sejurus Mahkamah Tinggi membebaskannya terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 15 November 2019.

Pembebasan tersebut dilakukan selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen apabila didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya.

Selepas dibebaskan, beliau mengumumkan tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau menyandang sebarang jawatan penting.

Bagaimanapun ada kalangan ahli PKR yang meminta Rafizi kembali ke arena politik dan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR April nanti.

Rafizi dalam ciapan di laman Twitter berkata, beliau belum memutuskan sama ada akan kembali ke arena politik atau sebaliknya