Anwar serah kepada pemimpin PH negeri urus kemelut politik di Perak

Anwar serah kepada pemimpin PH negeri urus kemelut politik di Perak

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Perak diberikan kuasa untuk memutuskan atau membuat sebarang cadangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri tersebut.

Pengerusinya PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu sudah membincangkan keadaan di negeri itu dan akan terus memantau situasi berkenaan.

“Kita harus memantau perkembangan di Perak dan berbincang dengan kepimpinan negeri di Perak iaitu DAP, PKR dan Amanah dan ini adalah perkembangan yang sangat positif.

“Ia sekali lagi ini mencerminkan ketidakcekapan MB (Menteri Besar) dan mereka harus mengambil tindakan dan langkah-langkah,” katanya ketika ditemui di Parlimen pada Isnin.

Ketika ditanya adakah Datuk Saarani Mohamad yang dicalonkan menjadi Menteri Besar merupakan pilihan yang baik, Anwar menegaskan, mereka tidak membincangkan isu tersebut.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Perak secara konsensus menamakan ADUN Kota Tampan, Saarani sebagai calon Menteri Besar Perak yang baharu.

ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya memaklumkan perkara tersebut di akaun media sosial beliau.

Dalam masa sama, Shahrul Zaman berharap tidak ada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi yang turut mengaitkan nama beliau sebagai calon Menteri Besar Perak.

Malam ini, mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Media difahamkan mesyuarat itu akan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan baharu Perak.

Sementara itu, Saarani turut mengesahkan akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ph-perak-tentukan-keputusan-cadangan-berhubung-kemelut-politik-272107