Anwar wajar teruskan bentuk kerajaan sekiranya ada majoriti kukuh dan kuat

Anwar wajar teruskan bentuk kerajaan sekiranya ada majoriti kukuh dan kuat

SHAH ALAM – Tidak sesuai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat khususnya ketika negara sedang berdepan dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin serius, tegas Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurutnya, cadangan itu diibaratkan ‘mencurah racun dalam minuman rakyat’, lebih-lebih lagi dalam keadaan politik negara yang tidak stabil.

“Sekiranya ada ahli politik yang mahukan PRU15 ketika wabak koronavirus (Covid-19) semakin mengganas ia umpama mencurah racun dalam minuman rakyat.

“Ini berhubung kait dengan situasi lokaliti yang mana situasi sebegini kita pernah menghadapinya sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, DUN Slim dan terbaharu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 ini. Kita boleh lihat apa yang berlaku.

“Jadi saya tidak bersetuju (adakan PRU15) sama ada untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahupun menukar kerajaan baharu. Ibarat bunuh rakyat sendiri. Memang kedengaran agak keras namun ini realitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian edisi ke-203 bertajuk ‘Adakah sekarang masa terbaik tukar kerajaan? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf malam tadi.

Antara panelis yang terlibat ialah Penolong Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Asuma Mohamed Sali dan Ketua Srikandi PKR Kelantan, Tyra Hanim Razali serta Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, pergolakan politik yang berlaku kini dicetuskan oleh elit politik yang mahu mengekalkan survival politik masing-masing.

“Bermula dengan Langkah Sheraton sehinggalah apa yang berlaku sekarang, semuanya dicetuskan elit-elit politik kerana ketidakpuasan mereka terhadap ganjaran yang mereka bakal peroleh secara individu mahupun parti.

“Kerajaan mahupun pembangkang banyak menghabiskan masa dan fokus mereka untuk mengatur pelbagai strategi untuk meneruskan survival politik mereka serta kepentingan peribadi, bukan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Rakyat bukan lagi keutamaan tertinggi mereka. Mereka sedang berdrama, berpolitik ketika rakyat memerlukan perhatian untuk berhadapan dengan krisis kesihatan awam dan ekonomi semakin merudum,” katanya.

Mohd Yusri berkata, rakyat kini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh dalam mendepani isu Covid-19, kemerosotan ekonomi serta pelabur asing.

“Rakyat kini dalam dilema berikutan situasi politik negara tidak menentu. Ramai rakyat bawahan menderita akibat dibuang kerja dan kehilangan sumber pendapatan.

“Untuk mendepani situasi ini, sebuah negara yang kukuh dan kuat perlu segera dibentuk sama ada kerajaan sedia ada (Kerajaan PN) atau kerajaan baharu.

“Kerajaan ini yang sememangnya berfungsi dan menumpukan sepenuhnya fokus kepada isu rakyat serta negara tanpa dipesongkan dengan isu-isu lain yang bersifat kepentingan peribadi serta kepartian,” katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, semuanya kini terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menggunakan kebijaksanaan baginda bagi meleraikan kemelut politik negara.

“Kita percaya dan berharap hikmah dan kebijaksanaan Seri Paduka supaya dapat menyelesaikan konflik serta polemik politik yang tidak berkesudahan ini.

“Mungkin Seri Paduka mempunyai beberapa pilihan dan antaranya dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan syarat ahli politik yang menganggotainya mestilah mereka yang betul-betul fokus kepada kepentingan rakyat dan negara.

“Atau mungkin Seri Paduka boleh cadangkan Kerajaan Interim buat sementara waktu. Apapun pilihan Seri Paduka, saya jangkakan itu pilihan terbaik kerana situasi sekarang tidak mengizinkan untuk mengadakan PRU,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan PN perlu dikekalkan atau sebaliknya, beliau berkata, sekiranya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kukuh dan kuat serta mempunyai majoriti yang banyak, ia perlu dikekalkan.

“Begitu juga sebaliknya jika Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ada majoriti yang kuat dan kukuh untuk membentuk kerajaan, teruskan. Apa yang paling penting masa depan rakyat. Rakyat mengharapkan kerajaan yang kuat dan kukuh untuk menjaga kepentingan mereka.

“Oleh itu saya cadangkan dengan campur tangan istana dan keterbukaan minda ahli-ahli politik supaya isu ini boleh diselesaikan segera,” katanya.

Sumber : Sinar Harian