Apandi cuba larikan diri dari menjawab keraguan yang telah dibangkitkan Tun M

Apandi cuba larikan diri dari menjawab keraguan yang telah dibangkitkan Tun M

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai keengganan Dr Mahathir Mohamad memberi kerjasama terhadap inkuiri pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyemak isu perundangn melibatkan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Ia susulan tindakan kerajaan melantik Mohamed Apandi Ali sebagai pengerusi pasukan petugas khas itu untuk meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

“YB menteri sudah jawab melalui kenyataan media. Itu sudah lebih daripada mencukupi,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Mahathir yang juga bekas perdana menteri berkata dia enggan memberi kerjasama terhadap pasukan itu kerana ia dipengerusikan Mohamed Apandi.

Mahathir berpendapat Apandi mempunyai konflik kepentingan dan sepatutnya menjadi saksi.

Malaysiakini melaporkan, Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi bertindak keluar dari pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC), tempat dia sepatutnya diwawancara Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di bawah pasukan petugas khas berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berbuat demikian sebagai tanda protes terhadap bekas peguam negara itu.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sebarang bantahan terhadap pelantikan Mohamed Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas berkenaan sewajarnya dibangkitkan lebih awal.

Wan Junaidi berkata pasukan petugas khas mengambil maklum pendirian Mahathir untuk tidak meneruskan sesi temubual yang dijadualkan kelmarin.