Arahan tak wajib saringan,kuarantin Ismail Sabri punca kes Covid-19 meningkat

Arahan tak wajib saringan,kuarantin Ismail Sabri punca kes Covid-19 meningkat

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menuding jari kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob susulan peningkatan kes Covid-19 yang dikaitkan dengan penularan tempatan dari Sabah.

Fahmi berkata kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Zulkifli Mohamad menjadi “bukti paling kukuh” keputusan untuk tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi yang pulang dari Sabah sebelum 27 Sept adalah “keputusan yang tidak berasaskan bukti, tidak berasaskan sains perubatan, dan tidak betul.”

“Malah saya berpandangan bahawa keputusan membenarkan mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 Sept dan diuji negatif di KLIA, KLIA2 untuk potong gelang pink – juga adalah keputusan yang tidak berasaskan fakta sains perubatan, dan tidak betul.

“Ia juga keputusan yang salah,” kata Fahmi pada siri ciapan di Twitter malam ini yang ditujukan kepada menteri pertahanan itu.

Petang tadi, menteri hal ehwal agama mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19.

Zulkifli juga menasihatkan orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya antara 24 Sept hingga 4 Okt lalu agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik,” katanya.

Zulkifli sebelum ini ada ke Sabah untuk menyertai program di sana ketika tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN), dan sekembalinya ke semenanjung, menghadiri beberapa program lain.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan mewajibkan ujian kepada semua individu yang kembali dari Sabah mulai 27 Sept, tetapi mereka yang diuji negatif dan tidak mempunyai kontak dengan pesakit, tidak perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Bagaimanapun mereka digalakkan melakukan kuarantin kendiri secara sukarela dan melakukan ujian sekali lagi pada hari ke-13 di klinik kerajaan.

Hujung bulan lalu, beberapa pakar telahpun mempersoalkan keputusan  membenarkan mereka yang diuji negatif Covid-19 setelah pulang dari Sabah untuk menamatkan kuarantin di rumahketika kes wabak itu semakin meningkat di seluruh negara.

Mulai 23 Sept, semua negeri di Semenanjung melaporkan kes Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah, dengan dua kluster dikesan di Selangor dan Johor.

Bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan dan pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee pada 30 Sept lalu memberi amaran supaya mereka yang tiba dari Sabah perlu menjalani kuarantin walaupun setelah ujian awal di KLIA/ KLIA2 negatif.

“Ujian negatif awal bukan bermaksud pelancong tidak akan positif pada hari-hari mendatang,” katanya menjelaskan saringan di lapangan terbang dan kuarantin wajib selama 14 hari dapat mengelakkan jangkitan seperti yang berlaku terhadap dua kes membabitkan pelajar sekolah di SMK Pandamaran Jaya di Klang.

Katanya lagi, pelajar berkenaan merupakan sebahagian kluster Jalan Apas yang dijangkiti wabak itu daripada abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna dari 13 hingga 16 September.

Seorang pakar KKM yang sudah bersara, Dr Amar Singh pada ketika itu juga berkata jangkitan Covid-19 boleh merebak ke seluruh negara tanpa adanya ujian yang dilakukan secara berulang dan kuarantin wajib.

Sumber : Malaysiakini