Artis remaja wanita Melayu produk DFKL ini tampilkan kejutan setuju lakonkan aksi ranjang jika diminta

Artis remaja wanita Melayu produk DFKL ini tampilkan kejutan setuju lakonkan aksi ranjang jika diminta

Pelakon Riena Diana sedia menjayakan adegan ranjang dalam lakonan andai diminta berbuat demikian bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang aktres.

Sungguhpun begitu, babak dimaksudkannya bukan sekadar penyendal atau modal menarik penonton, sebaliknya perlu menjadi penguat plot cerita.

“Sebenarnya saya tidak kisah terbabit dalam babak intim atau ranjang, sebab empat tahun dulu pernah laksanakan adegan sama dalam sebuah drama. – Riena Diana

“Cuma ketika itu kisahnya lebih kepada komedi dan bukan zaman viral. Jadi babak saya didukung Aidil Aziz dan dicampak ke katil tak jadi buah mulut orang ketika itu.

“Untuk buat lagi babak seperti itu atau intim era sekarang saya masih boleh, tetapi kena tengok juga keperluan dalam menguatkan sesebuah naskhah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35), baru-baru ini.

Riena mendedahkan, dia ingin lebih berani menyahut cabaran menggalas pelbagai karakter bagi membuang stereotaip dirinya hanya menyerlah sebagai pelakon komedi.

Kekuatan watak gadis bimbo bernama Laila atau disebut Lailer diakui menyerlahkan dirinya di arena hiburan, namun dia ingin kembali kepada kisah serius.

“Sememangnya saya bersyukur meraih perhatian ramai menerusi Kampung People yang turut diikuti ramai penggemar tegar.

“Cuma pada masa sama ada produser dan pengarah yang tidak percaya saya boleh pegang watak serius. Jadi saya kena tunjuk kemampuan diri,” tambah bakat yang digilap daripada Drama Festival Kuala Lumpur 2017 itu.

Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 25, yang pernah bergelar penyampai radio itu turut berharap impian untuk meneroka satu lagi cabang seni lain dapat direalisasikan tahun ini.