Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$114.28 bilion pada akhir Februari 2024

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$114.28 bilion pada akhir Februari 2024

 

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$114.28 bilion pada akhir Februari 2024 manakala aset mata wang asing lain adalah US$202.69 juta (US$1=RM4.73), kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata butiran terperinci rizab antarabangsa berkenaan memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ini turut memberi jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format IMF SDDS menunjukkan setakat akhir Februari 2024, adalah tetap boleh guna,” katanya.

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing adalah berjumlah US$16.33 bilion.

“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$22,586.1 juta pada akhir Februari 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, kata BNM, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Pada masa sama, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.46 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah US$400.9 juta.

“Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.