Aset TH bernilai RM19.9 bilion terbukti tidak dijual kepada bukan Islam, tuduhan pembangkang selama ini ternyata fitnah

Aset TH bernilai RM19.9 bilion terbukti tidak dijual kepada bukan Islam, tuduhan pembangkang selama ini ternyata fitnah

 

Aset Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah kira-kira RM19.9 bilion yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) pada 2018 ketika di bawah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terbukti masih ada.

Pemulangan semula aset TH seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan juga bukti tuduhan Pas kononnya aset TH yang diletakkan dipindahkan kepada SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman juga mengakui bahawa cadangan kerajaan untuk menyerahkan semula aset TH yang dipindahkan kepada anak syarikat Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan keberkesanan strategi berkenaan dalam menyelamatkan TH.

“Malah, hal ini turut telah melalui tiga kerajaan dari parti berlainan dan tiada perubahan drastik daripadanya.

“Malah, Suruhanjaya Diraja juga telah siap menyiasat dan tiada laporan negatif darinya yang dilaporkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun, sebahagian aset TH sudah dipulihkan dan bersedia untuk pemindahan semula.

“Jelas dalam hal ini, tiada sebarang penjualan aset TH kepada pihak luar secara tidak bertanggungjawab.

“Sebenarnya, ia dipindah uruskan kepada anak syarikat Kementerian Kewangan Malaysia sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Zaharuddin berpendapat pengurusan TH perlu benar-benar bersedia dari segi pengurusan dan kewangan memandangkan MOF sebelum ini mengambil aset terbabit dengan harga premium berbanding harga pasaran serta bail-out demi menyelamatkan TH.

Jika tidak, jelasnya, liabiliti TH akan lebih banyak daripada aset mengakibatkan dividen tidak boleh dibayar.

“Cadangan itu timbul kerana sebahagian aset toksik TH yang diserah ke MOF dahulu sudah diurus dengan baik.

“Malah, MOF keluarkan beratus juta ringgit lagi untuk memulihkan sebahagiannya iaitu melalui oleh anak syarikat MOF,” katanya.

Aset tersebut, jelas Dr Zaharuddin, boleh diserah semula dengan harga sama sewaktu MOF mengambil alih atau apa-apa harga yang ditentukan oleh TH dan kerajaan.

Namun, sebahagian aset toksik TH yang diserah kepada MOF sebelum ini masih belum cukup pulih kerana pasaran saham yang lembap.

Bagi aset terlibat, tambahnya lagi, mungkin perlu dinilai dahulu dan dipindah semula atau dibimbangi ia akan menyukarkan kewangan dan penyata imbangan Tabung Haji.