‘Awang itam’ berjaya ditambat

‘Awang itam’ berjaya ditambat

Seorang pemandu lelaki warga Nigeria ditahan reman bagi membantu siasatan kerana disyaki melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, suspek berusia awal 30-an itu ditahan di pekarangan kawasan parkir di Jalan Ikram-Uniten kira-kira empat jam selepas melarikan diri.

Mohd Sabri berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Shafiq Zahari di talian 011-11244128

Pada Sabtu, media melaporkan polis mengesan pemandu sebuah kereta yang melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang.

Kejadian berlaku pada jam 2 petang ketika anggota bertugas di sekatan jalan raya dimaklumkan oleh orang awam bahawa sebuah kereta enggan melalui sekatan dan cuba berpatah balik.

Dalam kesesakan lalu lintas, anggota polis pergi ke arah kereta terbabit dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan. – SH