Awas!!! Belum pun reda Covid-19, WHO laung amaran kewujudan semula virus Marburg

Awas!!! Belum pun reda Covid-19, WHO laung amaran kewujudan semula virus Marburg

BELUM pun reda ancaman Covid-19, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran awal berhubung kewujudan semula virus Marburg yang dikatakan lebih mudah dijangkiti serta berpotensi untuk tersebar lebih meluas.

Amaran itu dikeluarkan susulan kematian seorang lelaki di Guinea, Afrika Barat selepas dijangkiti virus terbabit.

Individu terbabit, lapor Insider, mengalami pendarahan dalaman serta kegagalan fungsi organ sebelum maut.

WHO pada Isnin mengesahkan bahawa lelaki terbabit mati disebabkan jangkitan virus terbabit yang mudah berjangkit dan berpotensi untuk tersebar jauh dan meluas.

WHO berkata, virus tersebut dipercayai berpunca daripada kelawar buah, sebelum disyaki boleh menjangkiti manusia menerusi sentuhan dan cecair badan.

Gejala awal virus tersebut adalah demam secara tiba-tiba dan sakit kepala. Pendarahan dalaman akan berlaku dalam tempoh tujuh hari.

WHO meletakkan kadar kematian bagi virus ini pada tahap 24 dan 88 peratus.

Virus Marbung dikatakan berasal dari kumpulan keluarga yang sama dengan virus Ebola yang mempunyai kadar kematian sehingga 50 peratus.

Ia pertama kali dikesan pada 1967 selepas sekumpulan saintis yang bekerja di sebuah makmal di Marburg dan Frankfurt, Jerman tiba-tiba jatuh sakit.

Secara keseluruhannya 32 orang dijangkiti virus tersebut dengan tujuh kematian direkodkan setakat ini.

Sumber – MStar