Awas!!! Berbunuh gara-gara air, peringatan buat MB Kelantan

Awas!!! Berbunuh gara-gara air, peringatan buat MB Kelantan

Gara-gara masalah bekalan air, dua rakan serumah bergaduh sehingga seorang daripadanya maut akibat ditetak dalam kejadian di Ladang Malangking, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata pergaduhan membabitkan dua pekerja berusia 30-an di sebuah rumah pekerja ladang itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditetak oleh suspek di bahagian perut menggunakan sebilah parang hingga cedera parah.

“Beberapa penduduk sekitar menyedari kejadian selepas mangsa berlari keluar dari rumah itu dalam keadaan berlumuran darah.

“Saksi kejadian melihat suspek melarikan diri dari pintu belakang rumah, namun tiada siapa yang berani menahannya (suspek) kerana sedang memegang parang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kinabatangan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan jam 10 malam.

“Siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan berlaku salah faham antara suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan air di rumah.

“Mangsa dikatakan sering membazir air dan isu itu timbul kerana kawasan perumahan mereka sering mengalami masalah bekalan air,” katanya.

Beliau berkata, suspek dan mangsa tinggal serumah dan bekerja sejak lima bulan lalu di ladang berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang memburu suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Richarles Edward di talian 089-561890 atau 014-3217050 untuk membantu siasatan,” katanya. – BH