Ayah pelajar SPM terkejut anak terima tawaran belajar, biasiswa sehari lepas keputusan diumum, hairan macam mana dapat data

Ayah pelajar SPM terkejut anak terima tawaran belajar, biasiswa sehari lepas keputusan diumum, hairan macam mana dapat data

 

ISU kebocoran data peribadi telah menjadi masalah yang semakin membimbangkan dalam negara.

Kebocoran ini termasuk maklumat seperti nama, alamat, nombor telefon, dan butiran lain yang boleh digunakan untuk aktiviti penipuan atau pencurian identiti.

Terbaharu, seorang peguam mahkamah Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar meluahkan kebimbangannya selepas menerima beberapa pelawaan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pihak tertentu berhubung pengajian anaknya yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selepas keputusan SPM, banyak SMS diterima minta anak daftar sambung pengajian. Siap dapat biasiswa lagi.

“Memang depa (mereka) jual data peribadi betul. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) hancur,” katanya melalui satu hantaran di Facebook peribadi miliknya pada Rabu.

Lebih membimbangkan lagi, kebanyakan SMS tersebut diterima Zainul Rijal sehari selepas keputusan SPM dikeluarkan.

“Mana mereka dapat semua data ini pun saya tak tahu,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, seorang warga maya, Yoona Ramli mendakwa pernah menerima SMS yang sama.

“Daripada zaman saya habis SPM pun sama Datuk, macam-macam institut pengajian tinggi (IPT) menghubungi saya untuk melanjutkan pelajaran di universiti mereka walaupun tak pernah isi borang.

“Saya sendiri confuse (keliru) macam mana mereka dapat data. Sudah masuk alam pekerjaan baru tahu ada orang jual beli data,” tulisnya.

Sementara itu menurut Majoriti, Muhammad Azam Abdul Halim pula mendakwa data-data pelajar atau calon SPM itu diambil daripada pihak-pihak tertentu.

“Saya dulu kerja, majikan bagi data budak sekolah dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima. Dari situ kita ambil ikut tahun, data merangkumi alamat, nombor telefon dan e mail,” katanya.

Muhammad Faris Zaidi turut berkongsi pengalaman yang sama dengan Azam Abdul.

“Isu ini selalu terjadi selepas SPM. Saya pernah bekerja dengan sebuah kolej swasta di bahagian pengambilan pelajar. Data-data ini dibeli dan seingat saya RM15 per set.

“Dibeli dari siapa? Sampai sekarang saya tidak tahu,” katanya.