“Ayah tak berhenti-henti tabur benih”, Anak dah bersusun ayah kahwin lain, akhirnya ini yang kami adik beradik hadap

“Ayah tak berhenti-henti tabur benih”, Anak dah bersusun ayah kahwin lain, akhirnya ini yang kami adik beradik hadap

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini sekadar luahan hati yang rasanya sudah tidak tertanggung lagi, kisah mengenai keluarga saya yang menjadi mngsa kehendak p0ligami ayah.

Kami adik beradik seibu sebapa seramai 12 orang, 11 orang lelaki manakala cuma saya seorang sahaja perempuan.

Kami ini dilahir dan dibesarkan sebagai anak peneroka Felda disebelah pantai timur. Dengan kuantiti adik beradik seramai pasukan bolasepak, maka pahamlah bagaimana situasi kami semua ketika membesar.

Bermulanya kisah ayah nak berp0ligami ni semasa ayah bekerja sampingan sebagai security guard. Maka bermulalah perkenalan yang membawa kepada perkahwinan ayah yang ke-dua dengan mama (mama gelaran untuk ibu tiri kami).

Ayah maklumkan kepada mak, ayah akan berkahwin dengan mama, dan mak tidak boleh halang kerana lelaki mempunyai hak untuk berkahwin lebih dari satu.

Untuk pengetahuan semua, mak saya teramat baik dan lurus orangnya. Semua kehendak ayah dituruti, tidak lah pernah saya dengar mak membebel marahkan ayah seperti tipikal mak mak lain yang selalu marahkan suami jika kemahuan mereka disanggah.

Berlainan dengan mak saya, dia sentiasa menurut perintah ayah walaupun sering melawan nasihat misi supaya ikat peranakan atau merancang memandangkan kami adik beradik kelahiran terlalu rapat dan semakin ramai.

Tetapi ayah lebih awal dulu memarahi mak jika mak menyuarakan nasihat misi. Kata ayah, “Berdosa hukumnya merancang anak, kerana menghalang pertambahan umat Islam yang akan menjadi kekuatan dan penambah suara umat Islam kelak”

Agak agak kalian sudah boleh meneka bagaimana perilaku ayahanda saya ni kan. Bagaimana peribadi dia kan. Ayah saya terlibat dengan parti hijau serta berjawatan pula di cawangan daerah kami tinggal. Maka, dipendekkan kata, ayah saya ni amatlah dikenali ramai dek kerana urusan parti hijau tu.

Saya bukan berp0litik, bukan ada agenda tersirat, saya cuma ingin ceritakan kisah peribadi yang mana tiada sangkut paut dengan mana mana ahli parti hijau yang lain.

Perilaku ayah tidak megambarkan sikap kesemua ahli parti berkenaan, ianya hanya merujuk kepada sikap ayah saya sahaja.

Semasa ayah ingin berkahwin dengan mama, ketika itu saya baru darjah 2 (8 tahun). Diusia semuda itu, apalah yang saya paham tentang p0ligami. Apalah yang saya tahu tentang kehidupan yang lagi akan menambah garam kepada kehidupan kami sekeluarga.

Mama berkerja sebagai security guard juga ketika itu. Mama ketika itu masih anak dara lewat usia, datang dari keluarga baik baik (pendapat saya sahaja sebab masa kenal mama, dia memakai tudung labuh). Ayah dan mama berkenalan ditempat kerja kerana mereka bekerja ditempat yang sama. Cinta kerjaya barangkali. Hari hari bertemu, hari hari memadu cinta, membawa kepada perkahwinan mereka berdua.

Mak yang diminta untuk pergi meminang sedangkan ketika itu mak baru sahaja melahirkan adik, mak menolak untuk pergi kerana masih dalam berpantang. Nenek sebelah ayah sanggup pergi meminang dan diteruskan pernikahan pada hari yang sama.

Nenek marah betul pada ayah, disumpah sumpahnya ayah dihadapan kami. Nenek asalnya tidak mahu pergi, tetapi mak yang meminta nenek sebagai ganti. Nenek sayangkan mak, mak ini yatim piatu. Dulu tinggal dengan bapa saudara, nenek yang pergi pinangkan mak untuk ayah.

Walau saya kecil, tapi saya seorang sahaja anak perempuan, maka nenek selalu bercerita kepada saya urusan rumahtangga mak dan ayah. Walau ketika itu saya lebih banyak angguk dari bertanya, sekarang saya memahami kenapa nenek saya yang alim tu boleh menyumpah seranah ayah saya, anaknya sendiri.

Nenek juga benci betul dengan mama masa tu, tapi sekarang, ketika saya menulis ini, hubungan nenek sudah neutral dengan mama.

Pada permulaan perkahwinan antara ayah dan mama, mama terpaksa berhenti kerja kerana bunting pelamin. Demi kemudahan mama isteri baru ayah, ayah sewakan sebuah rumah ditaman perumahan yang berdekatan dengan tempat kami tinggal (anggaran jarak 15-20km).

Namun, selepas kelahiran anak mama yang ke-3, (2 lelaki + 1 perempuan), dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, sewa rumah yang semakin mahal, ayah membuat keputusan untuk membawa mama dan anak anaknya tinggal bersama kami di rumah Felda tu.

Dirumah yang seluas nya sekangkang kera, ketika itu kami adik beradik masih 10 orang tambah mak seorang. Jadi seisi rumah sudah pun 11 orang belum ditambah ayah dan keluarga mama.

Maka saya berketawalah seorang diri bila nampak lori barang barang mama sampai depan rumah. Kami diarahkan mak untuk kosongkan bilik adik beradik lelaki 2 hari sebelum mama masuk. Semua perabut dari almari, katil 2 tingkat, rak rak buku, rak rak kain semua dipindah samada kebilik saya bilik perempuan atau kelaluan kebahagian dapur.

Dirumah kami, bilik hanyalah ada 3. Bilik adik beradik lelaki, bilik saya yang digunakan sebagai bilik solat juga, serta bilik mak dan ayah. Maka apabila mama mula pindah masuk kerumah kami, bilik adik beradik lelaki terpaksa diberikan kepada mama, lagipun bilik itu lebih besar berbanding bilik saya.

Sebelum kejadian ini pun, adik beradik lelaki memang tidur bergelimpangan diruang tamu. Bilik mereka itu hanyalah digunakan untuk menyimpan dan menyalin baju, serta tempat untuk meletakkan buku dan peralatan sekolah.

Apabila bilik mereka muktamad diserahkan kepada mama, segala keserabutan didalam rumah semakin bertambah. Dengan perabut bilik lelaki merata merata sehingga ke dapur, ditambah dengan perabut mama pula.

Dengan sofa, meja makan, cabinet tv dan pelbagai lagi memenuhi ruang tamu yang amat lah sempit. Kami tiada sofa dan meja makan sebelum itu. Terima kasih kepada mama, kini kami ada. Setiap hari saya makan dimeja makan, seronok betul rasa masa tu. Rasa macam orang kaya.

Maka dengan perpindahan mama kerumah menjadikan seisi rumah seramai yang adik beradik 10 orang ditambah anak mama 3 orang, mak, mama dan ayah, maka berjumlah 16 orang sebumbung pada ketika itu. 16 orang dengan 3 bilik satu bilik air.

Bilik saya lah yang menjadi tempat adik beradik lelaki untuk menyalin baju, solat dan sebagainya. Istilah privasi itu sudah tiada dalam hidup saya selepas itu.

Saya memilih menyalin pakaian semuanya didalam bilik mandi termasuklah menyalin pakaian sekolah. Seringkali pakaian sekolah basah dek jatuh diatas lantai. Kawan kawan perempuan saya, didalam bilik mereka ada bilik mandi berasingan. Saya bilik berasingan pun tiada.

Masalah semakin bertambah apabila felda memulakan sistem penanaman semula (pokok sawit yang lama dimtikan dan akan ditanam dengan anak pokok yang baru). Peneroka diberi pilihan samada untuk menyerahkan urusan penanaman semula kepada pengurusan felda atau ingin mengusahakan sendiri.

Ayah dengan acah acah hebat, memilih untuk mengusahakan sediri tanah ladang. Katanya tidak mahu dibelenggu hutang Felda berlarutan, kerana Felda memberi bantuan sara hidup bulanan berjumlah RM1200 pada mana mana peneroka yang meyerahkan pengurusan kepada Felda.

Kata ayah lagi, dengan Rm1200 mana cukup untuk perbelanjaan bulanan. Jika usahakan sendiri, pastinya hasil lebih banyak. Kata dia lah, dia yang kata. Bukan saya yang kata.

Perangai ayah ni bukan boleh dinasihat, bukan boleh ditegur, bila terasa diri terlalu berilmu yang melimpah ruah, terasa hebat dengan hal duniawi dan ukrawi, apa sahaja teguran pastinya dibidas. Pastinya di marah semula kami adik beradik jikalau abang abang ada yang menegur ayah tentang apa yang ayah nak buat. Begitu jugalah nasib mak, tidak dapat meluahkan walau sekelumit pendapat.

Berkenaan hal penanaman semula Felda ni, ayah berkeras untuk usahakan ladang sendiri. Katanya dia ada anak lelaki ramai, semua boleh bantu dia nanti. Buat apa susah susah suruh felda buat. Hmmmm… mengeluh panjang mak dan abang abang.

Bila mula untuk penanaman semula, Felda mula berikan wang insentif pengurusan ladang sebanyak RM 16K sebagai permulaan untuk membeli segala keperluan pengurusan ladang termasuklah baja, anak benih, racun dan sebagainya.

Sepatutnya, dengan wang yang sebanyak itu, ayah seharusnya membeli keperluan perladangan, tetapi ayah gunakan sepenuhnya wang tersebut untuk membina rumah mama ditapak belakang rumah kami. Didalam tanah yang sama, cuma tapak yang berlainan.

Hasilnya ladang terbiar, tidak terurus dan tidak mendatangkan hasil langsung. Hasil yang ada bergantung kepada pokok lama, sepatutnya pokok lama itu pelu digantikan dengan anak pokok yang baru.

Bertahun lama nya juga bergantung hasil kepada pokok lama tersebut, anggaran RM400-Rm500 sebulan, sedangkan peneroka yang menguruskan ladang sendiri, sudah boleh ambil hasil dari pokok baru.

Perihal ladang ayah sampai ke pengetahuan pengurus Felda, ayah di beri amaran. Jika tidak ditanam pokok yang baru dalam masa tiga bulan, tanah ladang akan dirampas oleh Felda. Masa tu baru nampak ayah bersungguh meminjam wang dari semua orang yang dia kenal, saudara, kawan kawan, keluarga mak, keluarga mama dan termasuklah nenek.

Akhirnya yang sanggup memberi pinjam adalah nenek. Nasiblah nenek ada tanah bendang yang tak diusahakan. Terpaksa dijual dengan harga murah, kerana mahukan wang secepat mungkin.

Semasa pembinaan rumah mama, mama sarat mengandungkan anak mama yang ke-4, rumah mama dibina dengan 3 bilik dan 2 bilik air. Mestilah tidak adil, sebab anak mama semua kecil kecil lagi masa tu. Kami yang bersusun susun ni bilik air nya cuma ada satu sahaja.

Disebabkan saya yang selalu lantang bersuara, saya meminta pada ayah untuk buatkan bilik tambahan untuk rumah kami, supaya bilik kami menjadi 4 buah. Mak pun menyokong cadangan saya tu, tapi kami dimarahnya bertubi tubi katanya kami tak bersyukur.

Ya Allah, geramnya rasa hati. Berbakul saya sumpah seranah ayah haritu, tapi menyumpah dibelakang sahaja. Didepan ayah, paling dasyat pun, saya palingkan muka dan berlalu pergi. Biarlah ayah dengan dunia perasan hebat tu.

Walhal begitu kehidupan kami sekeluarga, Allah kurniakan saya abang abang yang bertanggungjawab, yang budiman dan mulia hatinya. Mereka mendahulukan segala keperluan mak dan adik adik dari kepentingan sendiri.

Abang yang sulung (Along) telah berhenti sekolah sejak darjah 6, mula berkerja di bengkel motosikal semasa usia 15 tahun. Bekerja dari pagi bawa ke malam. Kesemua gaji along diserahkan kepada mak untuk belanja dapur dan juga bayar bil elektrik.

Along pernah terlibat dengan ddah dulu. Tapi sekarang sudah berhenti sepenuhnya. Hanya bergantung kepada program methad0ne kerajaan dan berbayar jika berkemampuan. Jika tiada wang untuk membeli methad0ne, dia perlu beratur seawal pagi di klinik daerah untuk mendapatkan methad0ne.

Manakala, 2 orang lagi abang, De dengan Chik, masing masing kerja di pasar mini dan carwash. Sepenuhnya gaji mereka digunakan untuk bantuan duit belanja dan yuran sekolah adik adik. Mereka keduanya bersekolah sehingga tingkatan 2 sahaja. Apalah kerja dapat dibuat dengan kelayakan yang mereka ada.

De bekerja di pasarmini, gaji pula dibayar ikut hari. Jika cuti, tiadalah gaji, semestinya tidak menyimpan kerana gaji dibayar hari. Duit hari hari dibagi juga pada mak, keperluan sendiri memang diabaikan.

Chik pula bekerja di carwash, gaji ikut bilangan customer. Kalau customer ramai, ikut gaji basic (RM 45 sehari), tapi kalau customer kurang, musim hujan, dapatlah kadang RM20-RM30 sahaja. Pun duit gaji Chik diberi kepada mak. Cuma sedikit wang diambil untuk simpan buat bayar motor yang digunakan berulang alik ke tempat kerja.

Abang abang saya pula yang runsingkan pasal duit dan belanja harian jika gaji tidak menentu. Ayah pula sibuk kehulu kehilir membawa bendera. Tak usahlah ayah sibuk mengibar bendera hijau tu, kalau anak sendiri pun tidak terurus.

Abang saya Angah berperangai lain sedikit berbanding abang abang yang lain. Perilakunya saling tak tumpah seperti ayah, gatal nak berkahwin walau diusia masih muda. Kerja hanyalah sebagai jaga. Dengan simpanan tiada, duit sepenuhnya dihabiskan untuk keperluan sendiri. Tidak difikirkan adik beradik yang lain.

Yang dia tahu, habiskan semua wang gaji untuk kegunaan sendiri. Bila nak kahwin, merayu merayu minta bantuan Along, untuk bantu sedikit wang hantaran. Usaha dengan susah payah minta mak dan ayah pergi meminang anak dara orang. Wang hantaran RM10k, boleh pula angah minta mak dan ayah minta diskaun, (eh angah, engko ingat ni beli baju ke ade diskaun diskaun!!)

Beruntung dan bernasib baiklah kerana keluarga bakal kakak ipar tu memahami dan menetapkan hantaran hanya RM8K, itupun angah masih menagih simpati untuk minta kurangkan lagi hantaran. Nak meminang anak orang, dia ingat cukup dengan RM5k tu agaknya. Sudahlah Along bantu bagi wang, nenek pula dirayu rayu untuk cukupkan bakinya.

Sungguh memalukanlah sikap angah ni, saling tak tumpah seperti ayah, dalam setandan pisang, ada juga seekor yang buruk perangai.

Kenduri sebelah lelaki sememangnya tidak dapat dibuat oleh kerana kekurangan wang, usahkan kenduri kahwin, doa selamat pun tidak dapat dibuat.

Sesudah berkahwin, Angah dan isteri (KakNgah) terpaksa tinggal bersama kami serumah. Hal ini kerana, kakak ipar juga yatim piatu. Dulu dia dibesarkan oleh nenek. Selepas nenek meninggal, dia dibesarkan oleh bapa saudara. Jadi mustahil lah angah nak pergi duduk dirumah bapa saudara isterinya.

Maka mereka berdua memilihlah untuk duduk serumah dengan kami kerana mereka takkan mampu untuk menyewa dengan angah tiada simpanan, kakngah pula tidak bekerja.

Maka kronologi mudahnya, selepas mama pindah keluar dari rumah kami, si kakak ipar pula datang duduk bersama. Sesudahnya, bermulalah episode bilik tidak cukup, berebut bilik air itu selalu, sehingga saya sering malas pulang kerumah sesudah habis sekolah. Serabut dengan rumah yang terlalu ramai. Penat nak hadap semua ni.

Kakak Ipar berjanji untuk bekerja demi membantu angah. Namun rezeki anak memihak kepadanya, dia bunting pelamin. Belum sempat dia mencari kerja, dia sudah mula mabuk mabuk dan keletihan.

Urusan kerja rumah, sememangnya dia tidak dapat membantu, kerana alahannya sangat teruk. Dia langsung tidak dapat bangun dari katil, sering muntah dan lesu sepanjang hari. Mak terpaksa hantar makanan kepadanya didalam bilik, begitulah sehari hari.

Saya memahami, dia bukan sengaja untuk tidak membantu urusan rumah, dia sangat letih dengan kandungannya, Angah pula tidak banyak membantu. Saya bukanlah nak marah atau apa, Cuma kadang kadang terasa amat letih, kerana hanya saya sahaja mak harapkan untuk menguruskan rumah. Sedangkan saya juga ada urusan persekolahan yang perlu dilaksanakan. Tapi saya sentiasa pujuk hati sendiri, diharap adalah pahala dengan ujian yang Allah berikan.

Perihal adik adik saya, mereka menguruskan baju dan beg sekolah sendiri, tidak meminta bantuan mak atau saya. Adik adik yang besar membantu mengosok pakaian adik adik yang lain. Mereka sangat berdikari.

Abang abang saya juga baik hatinya. Selalu belikan saya topup, apa yang saya perlukan. Saya hanya perlu minta, samada cepat atau lambat, mereka akan belikan untuk saya. Sebab kebaikan mereka pada saya, saya tak pernah berkira jika saya susah dan letih untuk mereka.

Jika malam hari mereka lewat pulang dan kelaparan, saya akan masakkan untuk mereka, nasi goreng, maggi atau apa sahaja asalkan dapat mengisi kelaparan mereka. Seluar baju kerja mereka juga saya yang basuhkan.

Saya tidak berkira dengan mereka, keranalah merekalah yang menjadi tulang belakang kami adik beradik yang lain.

Along menolak untuk berkahwin, semata mata untuk pastikan kami adik-beradik cukup makan, pakai, belanja sekolah dan sebagainya. Tapi angah lain, sesudah berkahwin dan punyai anak pun, perangai tidak bertangungjawab itu masih ada.

Setiap kali tiba hujung bulan, Along lah yang diharapkan untuk membeli susu dan pampers. Kakak ipar juga diajar angah untuk meminta minta pada Along kalau bekalan habis.

Along pula berlembut orangnya, baik hati serta sayangkan anak sedara. Mak pun sama, sayangkan cucunya, tak kisahlah kalau perangai angah tu melampau batas. Gaji yang sedikit digunakan untuk tukar henpon baru, paling terbaru ni dengar dengar duduk main judi internet. Duit gaji dihabiskan untuk beli matawang judi tu. Keperluan anak isteri memang diletak tepi. Tidak peduli kalau anak isteri itu cukup makan atau tidak.

Yelah, kenapa nak peduli, sewa rumah tak perlu bayar, makan minum tak perlu keluar sesen pun, keperluan anak langsung diharapkan along. Lebih baik kakak ipar tu berkahwin dengan along, dari berkahwin dengan angah, tabur benih sahaja yang pandai.

Mujurlah kakak ipar itu seorang yang baik dan tidak kisah, tidak peduli dengan keperluan sendiri. Sepatutnya angah bersyukur tahu dapat isteri seperti kakak ipar.

Tapi itulah, kadang kadang nak marah serba tak kena. Ngah dengan kakak ipar ni kadang kadang cetek juga pemikiran nya. Tapi siapalah kita nak menidakkan rezeki yang Allah swt nak beri. Anaknya baru usia 4 bulan, sudahnya kakak ipar mengandung pula. Bila dah mengandung, bermula semula perihal mabuk mabuk dan segala keletihan. Urusan anaknya digalas dibahu mak dan saya.

Kadang kadang adik lelaki yang mandikan anaknya yang baru berapa bulan tu ketika saya dan mak tiada dirumah. Kalau ada masa mak sibuk atau tidak berapa sihat, saya lah yang ditunggu dari balik sekolah untuk mandikan anaknya.

Kadang kadang tengah malam, anaknya menangis kuat, angah dan kakak ipar tak bangun untuk buatkan susu. Boleh dipekakkan telinga menahan bunyi tangisan anaknya itu. Saya yang sebelah bilik pun tersedar. Saya paham, dulu saya yang bangun buatkan susu, jadi sekarang saya juga yang harus buatkan.

Bersabarlah wahai hati. Senang kan hidup, buat anak tak perlu fikirkan kos, tak perlu fikirkan pampers, susu dan sebagainya. Bila buat anak, orang lain yang jaga, mudahkan hidup. Harap jangan salah paham, saya bukan marah atau benci, Cuma saya letih. Saya letih.

Setahun lepas mama bersalin anak ke-4. Ayah ambil motosikal besar. Saya tidak tahu bagaimana urusan dia, samada dia beli dikedai atau sambung bayar, saya memang tidak tahu. Yang saya tahu, ayah sangat berlagak dapat naik motor besar itu.

Yelah, parti hijau tu selalu buat konvoi merata rata. Ayah kadang kadang berkhidmat sebagai marshall jika parti ada membuat program. Naik motor besar lagi nampak hebat berbanding naik kapchai kan, biar papa asal bergaya. Bulanan motor tu hampir RM500 sebulan.

Bayangkan dengan RM500 tu, banyak nya kami sekeluarga boleh guna. Motor lama dia, bukan nya rosak, masih elok. Tapi sebab nak berlagak punya pasal, rela menghabiskan wang yang cuma setitik dua titik itu digunakan untuk membayar motor.

Motor lama dijual, tidak diberi pun pada De. De bukan ada motor, nak pergi kerja terpaksa tumpang chik, balik kerja tumpang kawan sebab chik balik lambat. Nama saja ayah, tapi hanya sekadar gelaran. Sikap langsung tak bertanggungjawab.

Bersambung: Part 2