Ayob Khan mengaku keputusan PH bubar pasukan khas polis satu tindakan betul

Ayob Khan mengaku keputusan PH bubar pasukan khas polis satu tindakan betul

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berpendapat polis tidak perlu mewujudkan pasukan khas, seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) untuk menangani isu membabitkan dadah.

“Tidak perlu banyak sangat pasukan atau tambah unit yang sedia ada. Mengapa perlukan satu unit lain untuk jalankan tugas yang sama. Kita pun ada unit strike khas. Nanti orang keliru dan tidak tahu mana satu yang betul (unit). Jadi kita perlu mantapkan sahaja apa yang ada.

“Contohnya, peralatan baharu yang lebih canggih, jumlah anggota dan sebagainya. Sindiket-sindiket ini sudah kaji cara kita dalam sesebuah operasi. Sebab itu peralatan penting dan tidak boleh bergantung kepada tenaga manusia semata-mata. Peralatan bantu kita banyak operasi dan siasatan,” katanya.

Kenyataannya itu dilihat mengikitiraf keputusan kerajaan PH melalui Menteri Dalam Negerinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertindak membubarkan 3 sayap pasukan khas polis bagi mengelakkan berlakunya pertindihan tugas dan kekeliruan di dalam pasukan polis sendiri.

Melalui laporan Harian Metro bertarikh 27 April 2019, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan laporan 3 pasukan khas yang dibentuk PDRM telah dimansuhkan.

“Ya saya sahkan. Tiada lagi tiga pasukan khas seperti Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam PDRM,” katanya.

Pemimpin BN sebelum ini memainkan isu pemansuhan ketiga-tiga pasukan khas PDRM tersebut yang dikaitkan dengan cubaan melemahkan badan kepolisian oleh kerajaan PH.

Isu tersebut dilihat berjaya menaikkan sentimen orang Melayu untuk menolak kerajaan PH berdasarkan keputusan pilihanraya kecil selepas PRU-14 melibatkan kawasan majoriti Melayu berjaya dimenangi kembali BN.