Azalina hantar usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Azalina hantar usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen dalam usaha mencegah lompat parti dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti yang telah diberi mandat oleh rakyat.

Melalui akta ini, pengundi boleh menarik balik mandat yang telah diberikan kepada wakil rakyat.

Untuk itu, beliau berhasrat untuk menghantar suatu notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

”Usul RUU yang dicadangkan bertajuk “Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021” dan saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihanraya Pecat atau “Recall Election” di dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat ekoran ramai yang mempersoalkan undi yang diberikan jika wakil rakyat berkenaan boleh menggadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya.

“Setelah 64 tahun negara ini meraikan kemerdekaan tetapi terdapat gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka, tetapi juga masyarakat akar- umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu, malah lebih-lebih lagi rakyat yang telah membuang undi untuk wakil rakyat tersebut di atas kepercayaan perwakilan mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto yang dijanjikan.

”Pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat. Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan (Rules of the Game) yang munasabah dan bukan dicetuskan dari perpecahan parti politik yang memudaratkan.

”Persaingan politik perlu dimurnikan – bukan dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan. Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci,” ujarnya.

Kata Azalina lagi, tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi dan beliau terkilan dengan keadaan ini.

Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baru atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi.

Di samping itu, Azalina berkata, beliau juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan “Kaukus Reformasu Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti” di antara Ahli- ahli Parlimen yang berminat bagi memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Sumber – MalaysiaGazette