Azalina umum letak jawatan sebagai timbalan Speaker Dewan Rakyat

Azalina umum letak jawatan sebagai timbalan Speaker Dewan Rakyat

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
PEJABAT AHLI PARLIMEN PENGERANG

Saya bersyukur kerana telah diberi penghormatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas dengan setia dan tidak berat sebelah. Walaupun begitu, sebagai manusia saya tidak terlepas dari sebarang kelemahan dan kekurangan, dan dengan itu, saya dengan tulus meminta maaf kepada rakan-rakan di Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia.

Bagi mengurangkan spekulasi orang ramai mengenai peletakan jawatan saya pada 23 Ogos 2021, dan juga untuk menyangkal pelbagai versi barisan Kabinet palsu yang tular di media sosial, saya ingin menyatakan sebab-sebab kenapa saya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

1) Kapasiti Moral Peribadi sebagai Timbalan Yang di-Pertua

Dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang di-Pertua, timbulnya konflik peranan dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga menyandang kedudukan sebagai Ahli Parlimen dalam sebuah Kerajaan Campuran. Peristiwa baru-baru ini membuktikan bahawa ada keputusan yang berlandaskan pendirian Parti yang bertentangan dengan keputusan yang diharapkan sebagai Ahli Parlimen yang mewakili Kerajaan Campuran.

Sebaiknya, seseorang yang dilantik sebagai Yang di Pertua atau Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat harus digantung dari memegang apa-apa jawatan politik Parti, bagi memastikan politik yang tidak berat sebelah. Ini merupakan ciri penting untuk jawatan ini supaya ianya dapat berfungsi dengan berkesan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

2) Tanggungjawab Rasmi sebagai Timbalan Yang di-Pertua

Perkembangan dalam 17 bulan terakhir ini menyebabkan saya merenung kembali mengenai kekurangan institusi Parlimen dan kebatasan saya sendiri dalam melaksanakan tugas dengan baik, tanpa menjejaskan integriti profesional saya. Sistem nilai peribadi saya yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, demokrasi berparlimen, semak dan imbang sejak Proklamasi Darurat pada Januari 2021 adalah tekal dan konsisten. Kekecewaan dan kesukaran saya diketahui umum, dan alasan-alasannya juga diketahui. Kapasiti rasmi saya dijamin oleh undang-undang dan prosedur, iaitu menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dengan apa cara sekalipun.

3) Keberkesanan Memegang Jawatan dalam Menyokong Integriti Awam

Kurangnya perundingan dalam membuat keputusan secara bersama telah memberi kesan kepada prestasi saya sebagai Timbalan Yang di-Pertua. Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat, seorang Timbalan Yang di-Pertua tidak boleh membuat keputusannya sendiri di Dewan Rakyat.

Pengambilan keputusan dan tanggung jawab bersama, tidak berat sebelah, keadilan, dan budaya saling menghormati adalah ciri-ciri penting yang saya inginkan di Parlimen Malaysia.

Penutup

Dengan pelantikan Perdana Menteri yang baru dan tuntutan awam yang jelas mahukan untuk kerjasama rentas kepartian, saya telah meletakkan jawatan saya hari ini untuk mengosongkan kerusi saya supaya Kerajaan dan Pembangkang mempunyai lebih banyak ruang untuk membuat penetapan semula Dewan Rakyat agar Dewan yang mulia ini dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kerjasama antara antara parti mengenai polisi dan urus tadbir. Saya akan menyokong sebarang pembaharuan yang mungkin mahu dilaksanakan oleh Kerajaan dan Pembangkang mengikut kebijaksanaan kolektif mereka.

Adalah menjadi satu penghormatan yang besar untuk berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertua, satu jawatan yang sangat saya muliakan sepanjang 13 bulan yang lalu. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan di Parlimen dan rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan dan kritikan yang tidak ternilai, di dalam usaha saya sebagai warga setia Parlimen dan Negara yang tercinta.

“This is no time for ease and comfort …it is time to dare and endure.”- Winston Churchill

AZALINA OTHMAN SAID
AHLI PARLIMEN PENGERANG
23 OGOS 2021