Azhan Rani puji JPJ tukar stiker ‘roadtax’, cadangkan Anthony Loke diberi anugerah menteri terbaik

Azhan Rani puji JPJ tukar stiker ‘roadtax’, cadangkan Anthony Loke diberi anugerah menteri terbaik

Azhan Rani tidak menyangka ruang Direct Message di Instagram miliknya dihujani dengan ucapan tahniah daripada orang ramai selepas kerajaan memperkenalkan pendigitalan lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) hari ini.

Kata pelakon itu, sewajarnya penghargaan itu diberikan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

“Berduyun-duyun orang WhatsApp dan beri mesej di media sosial aku untuk ucapkan tahniah dan terima kasih. Eh… salah tu. Bukan ucap pada aku tapi @jpjmalaysia dan menteri pengangkutan kerana berani buat perubahan dan dengar masalah rakyat.

“Mereka juga bijak sesuaikan dengan era digitalisasi. Kalau bayar tol pun dah berkurun tak guna operator, takkan lah pelekat cap ayam mabuk ni masih relevan pada 2023 ini kan?

“Terima kasih pak menteri yang bijak. Selepas berpuluh-puluh tahun baru kali ini muncul menteri yang faham apa tu maksud praktikal. Saya mewakili jutaan pengguna jalan raya Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas usaha pak menteri,” katanya.

Azhan, 47, yang juga pelakon Lelaki Harapan Dunia itu sebelum ini meluahkan kekesalan berhubung isu LKM yang masih menggunakan sistem lapuk.

Justeru, pelakon itu mungkin antara antara rakyat Malaysia yang paling gembira apabila kerajaan mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing.

Loke dalam kenyataan hari ini berkata, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman

Sementera itu, Azhan turut mencadangkan supaya menteri-menteri yang menjalankan tugas dengan baik diberikan penghargaan.

Katanya, penghargaan itu mungkin mendorong lebih ramai menteri menjalankan tugas yang membawa manfaat kepada rakyat.

“Boleh tak nak cadangkan beri anugerah satu atau enam bulan sekali buat menteri yang menjalankan tugas seperti di pejabat-pejabat kerajaan lain.

“Rasanya akan ramai menteri yang berlumba-lumba untuk menjalankan tugas dan faedahnya dapat kepada rakyat juga.

“Pada saya, menteri ini (Loke) paling layak untuk menerima anugerah ini,” katanya.