Azhar Harun sahkan kosongkan kerusi speaker sebelum 19 Disember ini

Azhar Harun sahkan kosongkan kerusi speaker sebelum 19 Disember ini

Azhar Harun hari ini mengesahkan bahawa dia akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang pada 19 Disember ini.

Sehubungan itu, katanya, sidang Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.

“Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya,” katanya yang dipetik akhbar The Star.

Mengulas lanjut, Azhar berkata setiausaha Dewan Rakyat kemudian akan memanggil sidang diadakan, dan akan disusuli dengan usul melantik speaker baru.

“Jika ada satu nama saja yang dicadangkan, setiausaha akan buat pengumuman dan speaker tersebut akan mengangkat sumpah.

“Namun, undian perlu dibuat jika lebih seorang calon diusulkan,” katanya lagi seperti dipetik.

Katanya lagi, semua ahli parlimen kemudian akan mengangkat sumpah di depan speaker baru dan dia juga akan mempengerusikan sidang bagi proses memilih timbalan speaker.

Ditanya apakah perasaannya apabila diarahkan untuk meletakkan jawatan itu, Azhar berkata dia berbesar hati kerana telah diberi peluang untuk berkhidmat sebagai speaker.

“Saya nikmati masa-masa saya sebagai speaker. Ia tugas yang cukup memuaskan hati,” katanya lagi.

Untuk rekod, Azhar merupakan calon tunggal untuk jawatan itu bagi menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof pada Julai 2020.

Menurut aturan mesyuarat yang dihantar kepada ahli parlimen hari ini, agenda pertama sidang adalah pemilihan speaker yang baru.

Ia dilihat merupakan ujian pertama terhadap majoriti yang dimiliki Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Usul undi percaya terhadapnya pula menjadi agenda kelapan sidang Dewan Rakyat.

Keesokannya, iaitu pada 20 Disember, sidang Dewan Rakyat akan membentangkan “belanjawan mini” untuk belanja pengurusan, termasuk gaji penjawat awam, sebelum menteri kewangan yang baru merangka belanjawan penuh untuk tahun depan.