Azmin dikesan langgar perintah kuarantin selepas pulang dari timur tengah

Azmin dikesan langgar perintah kuarantin selepas pulang dari timur tengah

Kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali ke ibu pejabat polis (IPD) daerah Putrajaya semalam, yang turut dikongsinya di media sosial, mencetuskan reaksi kencang warga maya.

Perdebatan maya bukanlah tentang kunjungan Azmin bagi menyerahkan sumbangan kepada kelab polis di situ, tetapi tentang status kuarantinnya yang baru-baru ini pulang dari luar negara.

Azmin mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dari 26 April hingga 4 Mei. Dalam misi lawatan itu, dia turut sempat mengerjakan umrah.

 

Semalam, ketika Azmi berkongsi di Twitter tentang kurungannya ke Putrajaya, enam hari selepas kepulangannya dari luar negara, warganet mempersoalkan apakah dia sudah menyempurnakan tempoh kuarantinnya.

“Bila balik dari oversea (luar negara)? Berapa lama dah dikuarantin? Apa benda ni?” soal pengguna Twitter @diradibecks.

Seorang lagi pengguna @radhie_mrad berkata: “Aku berkorban kuarantin 14 hari patuhi arahan kerajaan. Tapi orang kerajaan sendiri tidak amanah? Apa nasiblah jenis double standard (berat sebelah) macam ni”.

Perlu dimaklumkan bahawa Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 8 Feb, telah mengeluarkan arahan membenarkan menteri yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara untuk hanya menjalani kuarantin selama tiga hari.

Kerajaan mengetatkan syarat kuarantin untuk rakyat di tengah kebimbangan varian baru Covid-19 boleh tersebar ke negara ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penguatkuasaan semula tempoh kuarantin 14 hari untuk perjalanan dari Singapura. Ia sebelum ini dikurangkan kepada tujuh hari.

Putrajaya memetik kebimbangan terhadap varian Covid-19 yang lebih berbahaya yang merebak di bandar itu.

Kerajaan turut mengenakan larangan perjalanan dari India pada 29 April, ekoran kebimbangan terhadap strain B.1.617 yang menyebabkan kes Covid-19 di negara itu melonjak.

Kerajaan kemudiannya memperluas larangan perjalanan ke atas negara-negara jiran India – Sri lanka, Bangladesh, Pakistan dan Nepal pada 5 Mei.

Sehingga hari ini, kerajaan belum menunjukkan rancangan untuk mengetatkan sekatan kuarantin terhadap menteri, meskipun langkah sedemikian sudah dikenakan ke atas rakyat biasa. – MK