Azmin semakin tersepit, akur idea PH tepat dan betul

Azmin semakin tersepit, akur idea PH tepat dan betul

Kerajaan mengumumkan telah bersetuju untuk menetapkan harga siling bagi dua produk petroleum iaitu RON95 dan diesel di pasaran .

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada Rabu, paras harga siling yang ditetapkan itu lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Harga runcit semasa petrol RON95 akan dihadkan pada paras siling RM2.05 seliter, manakala harga runcit semasa diesel akan dihadkan pada paras siling RM2.15 seliter.

“Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Ia bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu memberitahu kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

“Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

“Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.

“Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannya bermula hujung Februari 2021,” tambah kenyataan itu lagi.

Di samping itu, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi Kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat. – AA