Bagai menyimbah minyak ke api : Bersatu anggap MN hanya sebuah Ngo kecil

Bagai menyimbah minyak ke api : Bersatu anggap MN hanya sebuah Ngo kecil

Bersatu menganggap Muafakat Nasional (MN) lebih sebagai NGO dan mahu memberikan tumpuan kepada memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi PRU15.

“Sikap kita sekarang, MN bukan pertubuhan berdaftar, ia sebagai satu NGO, satu pakatan. Jika duduk dalam MN pun, logo itu masing-masing, dia tak boleh bertanding guna logo MN,” kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

“Kita nak bersedia untuk PRU15. Kita sudah ada PN. Jadi sebagai gabungan politik, fokus kita sekarang adalah perkukuhkan PN. Sediakan PN untuk menang dalam PRU15.

“PAS pun sudah kata biar Umno selesaikan isu dalamannya dulu dan PAS, dari segi politiknya bersedia duduk dalam PN. Jadi fokus kita PN. MN kita tunggulah perkembangan selanjutnya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebelum ini menangguhkan rundingan kerusi dengan Umno sehingga tonggak Barisan Nasional itu menyelesaikan apa yang disifatkan PAS sebagai “masalah dalamannya.”

Hadi, sebelum ini, turut menegaskan bahawa soal pengagihan kerusi antara PAS-Umno tidak boleh meminggirkan Bersatu, meskipun Umno mahu menamatkan kerjasama politiknya dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

PAS bersekutu dengan Umno menerusi MN dan turut menjadi parti komponen PN bersama Bersatu, Gerakan, STAR dan SAPP.

Beberapa pemimpin Umno menggesa PAS untuk memilih antara parti itu dan Bersatu dalam menghadapi PRU15, namun PAS berkata ia komited kepada kerjasama dengan kedua-dua parti itu buat masa ini.

Dalam wawancara dengan FMT, Wan Saiful menghuraikan perbezaan jelas antara Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Umno dan PN yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.

“Tiada sesiapa nak halang setiap parti bercakap (dalam PN). Ia mungkin berbeza apa yang ada dalam Barisan Nasional sebelum ini yang mana sebelum PRU-14 jelas ada satu ‘abang long besar’.

“’Abang long’ ini yang akan tentukan ini boleh cakap, itu tak boleh cakap. Dalam PN, kita bawa budaya berbeza yang mana semua boleh bercakap. Kita pujuk rakyat dengan agenda kita dan bawa satu persefahaman dalam PN,” katanya.

Ketika ditanya apakah tawaran PN kepada kepada pengundi menjelang PRU-15, beliau berkata kesatuan politik, integriti, dan prihatin rakyat adalah tiga agenda teras yang diperjuangkan gabungan itu.

Beliau menegaskan, berbanding pihak lawan yang hanya suka “bertikam lidah” dan cabar-mencabar, PN kekal dengan prinsip mengutamakan kebajikan rakyat selain meneruskan pembaharuan institusi.

Justeru, katanya, PN platform terbaik untuk penyatuan parti Melayu bagi memenangi PRU15, berdasarkan rekod cemerlang gabungan itu menerajui kerajaan sepanjang 15 bulan ini.

“Kesatuan, integriti dan prihatin rakyat itu agenda yang kita tawarkan. Rekod ketika ini jelas (menunjukkan) siapa yang mahu jaga kebajikan rakyat. Yang lain hanya mahu bergaduh sahaja,” katanya. – FMT