Bagaikan lakonan, Khaled bidas ucapan terbaru Muhyiddin

Bagaikan lakonan, Khaled bidas ucapan terbaru Muhyiddin

Saya mengikuti kenyataan dari petikan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menjelaskan bahawa beliau sebenarnya menyokong Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dengan sokongan kumpulan kleptokrat. Dan atas dasar ingin memastikan Perikatan Nasional kekal berkuasa, maka beliau pun memberikan sokongan kepada wakil dari UMNO tersebut.

2. Terdapat beberapa perkara yang sangat canggung dalam penjelasan ini.

3. Pertama, ia nampaknya sekadar satu cubaan terdesak untuk menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat terhadap kegagalan Kerajaan PN di bawah beliau. Sedangkan hakikatnya, kejatuhan PN adalah disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia antara sebab penarikan sokongan oleh UMNO.

4. Kedua, beliau sebenarnya sedar bahawa pendirian untuk menganggap UMNO secara umum sebagai pendukung kleptorat adalah tidak benar, malah sangat bercanggah dengan kesanggupan beliau yang kini kembali bekerjasama dengan ramai wakil UMNO.

5. Ketiga, penolakan beliau kepada PH dan sebahagian pemimpin UMNO adalah bermusim dan sangat bersifat acuh tak acuh. Ini kerana, Perdana Menteri yang beliau sokong telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin PH atau pembangkang yang lain sebagai satu pendekatan baharu. Dan tidak terdapat sebarang bangkangan dari beliau dalam hal ini.

6. Kesemua perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa pemimpin tertinggi BERSATU tersebut sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas dan tetap. Sebaliknya beliau selesa menukar-nukar pegangan semata-mata untuk menjustifikasi tindakannya yang mahu kekal berada dalam kerajaan. Malah, ini adalah satu cubaan terdesak untuk kini tampil sebagai penyelamat Malaysia.

7. Adalah jelas bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan kita. Dah diberi ruang dan peluang bertaraf Menteri, fokuskan sajalah kepada peranan dan tanggungjawab baru yang telah di beri.