“Bahagia dapat hadiah dari kedai RM2” – Pasangan ini buktikan wang bukan segalanya

“Bahagia dapat hadiah dari kedai RM2” – Pasangan ini buktikan wang bukan segalanya

 

Sepasang suami isteri berjaya mencuri perhatian ramai selepas satu rakaman yang memaparkan reaksi mereka ketika bertukar hadiah, tular di platform media sosial.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan saling bertukar hadiah yang dibeli di sebuah kedai serbaneka untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan pertama.

Walaupun sambutan dibuat dengan sangat sederhana, pasangan berkenaan kelihatan sangat bahagia menerusi rakaman yang dikongsi oleh sang suami di laman TikTok.

Gelak tawa juga tidak berhenti mengiringi ‘momen’ yang sangat istimewa itu apabila beberapa hadiah dibeli di kedai serbaneka RM2 dikeluarkan daripada beg masing-masing.

“Cabaran ulang tahun perkahwinan yang pertama. Bertukar hadiah mengikut warna, versi kedai serbaneka RM2. Sangat menyeronokkan. Video ini agak panjang,” kata pemilik akaun @yeopsenyom itu.

@yeopsenyom_

First Anniversary Challenge. Tukar hadiah ikut warna, versi @eco-shop Malaysia is sooooooo fun! 😂💕 @Liana 🌸 Video ni agak panjang, enjoy it!🤭

♬ original sound – Yèop Azrul – Yèop Azrul

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok memuji pasangan terbabit kerana berjaya membuktikan kebahagiaan tidak terletak pada kemewahan.

Ramai juga individu terhibur dengan hadiah yang dibeli oleh suami kerana semuanya berasaskan produk kebersihan rumah seperti pencuci pinggan dan sabun basuh baju.

“Mula-mula saya senyum menonton video ini. Lama-lama berdekah, tidak berhenti ketawa. Semua barang rumah yang suami beli. Isteri pun reda sahaja,” kata seorang pengguna yang terhibur.

“Benda yang paling mahal dalam video ini adalah apabila isteri cakap Alhamdulillah. Itu ungkapan yang cukup menggambarkan kebahagiaan keluarga ini, tak perlu harta berjuta.” Kongsi pengguna lain.

Bukan itu sahaja, hampir kesemua pelayar TikTok yang menonton video berkenaan tampil mendoakan supaya kebahagiaan pasangan terbabit berkekalan buat selamanya.