Bakal akhiri zaman duda, akhirnya Shuib dedah tarikh nikah dengan Watie

Bakal akhiri zaman duda, akhirnya Shuib dedah tarikh nikah dengan Watie

 

Pelawak dan penyampai radio terkenal, Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mendedahkan sudah membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama kekasih pilihan hatinya, Watie Hanafiah, pada pertengahan tahun ini.

Menurut laporan Media Hiburan, pelawak yang berusia 39 tahun itu memaklumkan dia akan berkongsikan mengenai perkara tersebut dengan lebih terperinci kepada umum apabila tiba masa yang sesuai.

“Saya berniat (mendirikan rumah tangga) pada pertengahan tahun ini. Insya-Allah yang terperinci akan kongsikan nanti,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Shuib turut meluahkan rasa kasihan terhadap Watie yang terpaksa melayani komen-komen netizen meskipun bukan seorang penggiat seni. Namun, dia tetap komited dalam membimbing wanita yang dicintainya.

“Saya selalu beritahu dia supaya jangan ambil pusing atau baca komen. Kadang-kadang kesian juga sebab dia bukan selebriti.
“Setakat ini semuanya baik dan saya ada beritahunya, tidak mengapa (jadi perhatian netizen), tetapi saya bimbing awak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shuib memberitahu ibunya, Amy Salmie telah terima dengan seadanya kehadiran Watie dalam kehidupan mereka termasuklah empat orang anaknya.

Sekadar info, Shuib pernah mendirikan rumah tangga bersama Siti Sarah pada 2011 dan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata namun, Siti Sarah telah meninggal dunia pada Ogos 2021 akibat Covid-19.