“Balik kerja pinggan tak basuh, periuk kuali berulat” – Isteri minta cerai gara-gara suami enggan bantu kerja rumah

“Balik kerja pinggan tak basuh, periuk kuali berulat” – Isteri minta cerai gara-gara suami enggan bantu kerja rumah

 

Seorang wanita tidak pernah menyangka bekal terlintas di fikirannya untuk bercerai gara-gara sikap suami yang enggan membantu dalam urusan pekerjaan rumah.

Penat bekerja sambil membesarkan anak, wanita dikenali sebagai Nurul itu sangat kecewa apabila suaminya tidak memberi keizinan untuk berhenti kerja selepas mengadu keletihan.

Hampir berputus asa menyelamatkan rumah tangganya, berikut perkongsian Nurul yang merasa khuatir sekiranya keputusan itu datang daripada sikap tidak bersyukur.

“Hai, Assalamualaikum semua. Nama aku Nurul, sudah kahwin dan memiliki seorang cahaya mata. Cerita ini berkaitan dengan suami aku. Alhamdulillah setakat ini dia tak pernah curang. Cumanya, entahlah. Kalau dikatakan pemalas, rajin sahaja dia keluar bekerja mencari nafkah untuk anak dan isterinya. Kami berdua memang ada kerjaya.

“Suami bekerja sendiri, manakala aku pula bertugas di sebuah syarikat swasta yang dikenali orang ramai. Anak aku hantar ke pengasuh. Berbanding suami, gaji aku tak sebesar mana. Sebabkan rajin bekerja, tak hairanlah pendapatan bulanan dia cecah RM5,000. Tetapi kalau menyimpanlah. Datang ‘mood shopping’ habis terus duit dia.

“Penduduk kampung mengenali suami sebagai seseorang yang rajin bekerja. Selalu juga dia bergaul dengan masyarakat. Tak macam aku, siang malam bekerja. Setiap kali program kampung, memang aku tak pernah muncul. Tetapi suami ada satu sikap yang aku tak berkenan sampaikan kami memang kerap gaduh mengenai perkara ini.

“Ya, suami aku suka buat sepah. Kalau pandai kemas semula tak mengapa. Tetapi ini sudah tahap melampau. Aku pula sejenis tak suka barang berterabur, bersepah sana sini. Sakit mata aku. Balik kerja sudah penat, tetapi rumah macam kapal karam. Jadi emosilah aku. Awal-awal kahwin tak pernah pula dia tunjukkan perangai sebegini.

“Selepas pindah rumah sendiri barulah suami mula buat perangai. Awalnya aku boleh terima lagi sebab dia dengar kalau diberi nasihat. Tetapi lama-kelamaan semakin tak makan saman. Katanya, aku suka mengeluh dan kuat membebel. Emosiku ini sudah tersangat penat. Waktu pagi hantar anak ke pengasuh, barulah pergi tempat kerja.

“Balik kerja pula petang atau malam, kemudian aku jugalah yang jemput anak. Balik rumah tengok bersepah, semakin penat jadinya. Setiap kali mengadu, suami cakap ia normal sebab aku ini ibu yang berkerja. Tetapi nak berhenti, dia tak benarkan. Minta tunggu dia stabil dahulu, baru boleh berhenti. Sedih dia tak peduli perasaan aku.

“Sehari boleh jumpa suami pun di waktu pagi sebelum pergi kerja sahaja. Kalau dia balik awal, malam boleh nampaklah mula dia. Kalau tak, aku dengan anak lena tidur barulah dia balik. Aku sedih, kadang-kadang macam tak bersyukur. Mengapa suami tak macam orang lain? Balik awal kerja untuk luangkan masa dengan anak dan isteri.

“Tetapi suami aku bukan macam itu. Kalau balik awal, dia keluar balik selepas mandi dan makan. Alasannya motor kawan pancit, anak kucing nak beranak atau Mak Kiah sesat jalan kampung. Kami juga kurang berkomunikasi. Kawan sepejabat aku cerita suami mereka ada menolong buat kerja rumah juga. Memasak atau sebagainya.

“Suami aku tak pernah membantu. Dia hanya menolong kawan-kawan dia sahajalah. Aku ini isteri, tetapi diletakkan pada kedudukan terakhir dalam senarai agaknya. Aku pernah tak kemas rumah hampir dua minggu. Suami lagi suka adalah. Buat rumah ini macam tong sampah. Makan tak basuh, periuk dan kuali dibiarkan berulat semua.

“Kalau aku suruh suami kemas, dia akan cakap siapa buat sepah yang patut kemas. Masalahnya dialah yang buat bersepah. Aku terlalu penat. Rasa nak bercerailah. Aku sudah tak sanggup. Nak cakap tak fikir anak, ada sahaja. Namun mental dan emosi aku pula siapa nak fikir? Untuk anda semua mungkinlah perkara ini kecil sahaja.

“Tetapi tidak bagi aku. Dalam perkongsian ini, aku cuma mahu meluah dan meminta pendapat kamu semua. Sekiranya ada yang mengecam, aku tak boleh nak buat apa-apa. Bukan kamu semua yang berada di tempat aku.” Kongsi Nurul (Bukan nama sebenar) menerusi satu perkongsian di sebuah forum atas talian.