“Balik saja, jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar” – Azam Baki

“Balik saja, jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar” – Azam Baki

 

“Balik saja dan jangan bagi banyak alasan,” tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat serta menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Muhammad Adlan yang dicari SPRM.

“Saya tetap dengan pendirian saya. Awak (kedua-duanya) balik saja dan hadapi apa jua siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.”

“Mungkin cakap saya ini, cakap yang orang tidak suka tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik sahaja dan jangan bagi alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Eksekutif Merdeka, Tadbir Urus Terbaik Dalam Sektor Awam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, hari ini.

Forum itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Terdahulu, Mansoor, 69, dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Kuala Lumpur menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Tegasnya, beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

Katanya, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.

Sebelum ini, Muhammad Adlan turut dilapor menegaskan tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.

Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air.