Banjir kilat, Shahidan jadi sasaran luahan kemarahan warga KL

Banjir kilat, Shahidan jadi sasaran luahan kemarahan warga KL

Beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur mengkritik Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim tidak mengambil langkah sewajarnya menghalang banjir kilat berlaku.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang kini berada di Johor untuk pilihan raya negeri (PRN) berkata: “Amat dikesali apabila perkara ini berlaku lagi. Baru-baru ini kami memaklumkan pihak relevan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Shahidan berulang kali supaya peka bagi memastikan banjir kilat tidak berlaku lagi.

“Saya telah menghantar mesej kepada Shahidan dan Datuk Bandar KL, Mahadi Che Ngah atas kegagalan mereka belajar daripada banjir yang berlaku Disember lalu,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beberapa kawasan di ibu kota dinaiki air selepas hujan hanya dua jam.

“Ini tidak boleh terus berlaku lagi dan lagi di KL. Kita memerlukan lebih banyak kolam takungan dan meningkatkan kapasiti saliran,” katanya kepada FMT.

“Shahidan perlu menjadikan perkara ini satu keutamaan kerana melibatkan kerugian jutaan ringgit.”

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula berkata, lokasi sama di kawasannya yang banjir sebelum ini, sekali lagi terjejas.

“Saya dihubungi persatuan penduduk dan keadaan agak membimbangkan. Tiada amaran banjir dikeluarkan,” katanya kepada FMT.

“Polis dan DBKL ada di Lembah Pantai, serta Jabatan Kebajikan telah dimaklumkan. Kami berjaya menjadikan sebuah sekolah sebagai pusat pemindahan.”

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, kawasannya terjejas teruk.

“Video dan gambar banjir kilat yang tersebar di media sosial membuktikan pembangunan keterlaluan di KL, selain sistem saliran yang teruk,” katanya sambil menambah air semakin surut di kawasannya, namun orang ramai masih dalam keadaan berjaga-jaga.

Antara kawasan terjejas teruk akibat hujan lebat petang tadi termasuk Jalan Kia Peng, Masjid Jamek, Jalan Kuchai Lama, Jalan Tun Razak dan Jalan Tun HS Lee.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca buruk sehingga 13 Mac, dengan ribut petir dijangka di beberapa kawasan di barat Semenanjung, selain Sabah dan Sarawak.