Bantu nasib isteri berdepan isu ‘penyondol’, Puteri Sarah dedah terima kecaman dari kaum lelaki

Bantu nasib isteri berdepan isu ‘penyondol’, Puteri Sarah dedah terima kecaman dari kaum lelaki

Sebelum ini, pelakon Puteri Sarah mendedahkan pernah dihubungi oleh bekas isteri Hafidz Roshdi berkaitan isu curang dan orang ketiga dalam rumah tangganya. Bukan itu sahaja, kini Puteri Sarah turut menerima beberapa pesanan DM di akaun Instagram dari wanita yang mengalami nasib yang sama.

Menurut pelakon itu, ada juga yang memintanya untuk membuka persatuan bagi membela nasib wanita yang berdepan dengan masalah yang sama. Namun menurut isteri pengarah filem Syamsul Yusof ini, niatnya hanya untuk membantu golongan wanita yang teraniaya sahaja.

“Kalau saya buka persatuan nanti lelaki di luar sana macam cacing kepanasan pula. Nanti semua orang benci saya. Tujuan saya satu sahaja, ingin membantu golongan wanita yang berdepan masalah sama macam saya.”

 

Terima kecaman dari kaum lelaki

Dalam masa yang sama, Puteri Sarah memberitahu dia cuma berkongsikan pengalaman dan tindakan yang mereka boleh lakukan sekiranya berada di tempat yang sama. Namun, pelakon itu mendedahkan dia juga turut menerima kecaman dari segelintir lelaki yang menganggap seolah-olah dia menjadi tempat rujukan wanita yang mengalami isu rumah tangga.

“Ada golongan lelaki yang DM saya kata saya ajar wanita untuk bersikap kurang ajar dengan suami. Tujuan saya hanya mahu wanita berani dan perjuangkan hak mereka. Lelaki di luar sana janganlah takut sangat.”

 

Tambahnya lagi, dia tidak berniat ingin menjadi batu api dalam rumah tangga pasangan lain atau mengajar wanita lain tindakan yang tidak sepatutnya. Sebaliknya, dia mengajar tindakan yang boleh diambil oleh para isteri sekiranya berhadapan dengan isu orang ketiga atau ‘penyondol’ dalam rumah tangga mereka.