Bantuan khas kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam dibayar pada bulan ini

Bantuan khas kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam dibayar pada bulan ini

 

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan, pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.

Oleh yang demikian, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain RM350 juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan di mana bayaran akan dibuat pada bulan April 2023.

Melalui Surat Edaran: JPA.800-3/2/4(24) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kaedah pelaksanaan BKKA bagi tahun 2023 yang meliputi mereka yang layak dibayar dan yang tidak layak dibayar.

Apa itu Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023?

BKKA adalah bantuan hari raya bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.

Bantuan ini diumumkan dalam pembentangan  Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu di mana Perdana Menteri memaklumkan;

“Dalam kita melangkah ke bulan Ramadan serta bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak 700 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikankontrak selain 350 ringgit juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan. Insya-Allah, bayaran akan dibuat pada bulan April 2023.”

-Datuk Seri Anwar Ibrahim-

Poster Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023

Tarikh Pembayaran

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 17 April 2023.

Jumlah Bantuan

Jumlah bantuan yang diberikan adalah sebagaimana berikut;

  1. RM700 kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah termasuk pegawai/kakitangan lantikan kontrak.
  2. RM350 kepada pesara Kerajaan (pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), veteran berpencen serta veteran tidak berpencen)

Penjawat Awam Yang Layak Dibayar

Dalam Surat Edaran: JPA.800-3/2/4(24) halaman 2 memaklumkan, bayaran BKKA 2023 layak diberikan kepada penerima berikut;

  1. Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 561 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 17 April 2023;
  2. Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang layak mersebut merupakan:
    • pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS);
    • pegawai yang bercuti bergaji penuh;
    • pegawai yang bercuti separuh gaji;
    • pegawai yang bercuti tanpa gaji; dan
    • pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. BKKA Tahun 2023 ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 turut layak kepada

  1. Pegawai lantikan MySTEP yang mash berkhidmat pada 17 April 2023 dan telah dilantik sebelum 17 April 2023;
  2. Guru interim;
  3. Pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas Adan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya; dan
  4. Pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran serta Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman.

Pesara dan Penerima Pencen Yang Layak Dibayar

Pesara Kerajaan yang menerima pencen di bawah undang-undang pencen/Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan FaedahFaedah Lain) 1982 yang bersara pada atau sebelum 17 April 2023 bagi semua gred di dalam:

  1. Perkhidmatan Awam Persekutuan (termasuk Polis Diraja Malaysia) dan Negeri;
  2. Perkhidmatan Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan;
  3. Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia; dan
  4. Pesara Skim Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) yang bersara daripada perkhidmatan awam apabila mencapai opsyen umur persaraan paksa (55/ 56/ 58/ 60 tahun) atau bersara Atas Sebab Kesihatan (ASK).

Penerima pencen yang layak menerima BKKA Tahun 2023 adalah seperti berikut:

i) Penerima pencen terbitan

ii) Penerima pencen orang tanggungan;

iii) Penerima elaun tanggungan;

iv) Penerima elaun bersara; dan

v) Penerima elaun bersara terbitan.

Yang Tidak Layak Dibayar BKKA

Bayaran TIDAK LAYAK diberikan kepada:

  1. pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam/ tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/Gred Khas;
  2. pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib buang kerja atau turn pangkat dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 17 April 2023;
  3. pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 17 April 2023;
  4. pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 17 April 2023; dan
  5. pegawai berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan (BBDS).

Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBTT) akan ditangguhkan pemberian BKKA Tahun 2023 ini.

Pegawai hanya layak dibayar BKKA Tahun 2023 setelah dibebaskan daripada pertuduhan tatatertib atau dikenakan hukuman selain buang kerja atau diturunkan pangkat oleh PBTT yang berkenaan.

Surat Edaran: JPA.800-3/2/4(24)

  • Surat Edaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023_page-0001
1 / 6

Surat Edaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023_page-0001

Soalan Lazim (FAQ)

Berikut adalah antara soalan lazim BANTUAN KHAS KEWANGAN AIDILFITRI (BKKA) TAHUN 2023 dari laman portal JPA;

Siapakah penjawat awam yang layak dibayar Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023? 

BKKA Tahun 2023 dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah yang dilantik secara tetap, sementara dan Contract of Service dengan syarat bahawa pegawai masih berkhidmat pada 17 April 2023.

Turut layak diberi kepada pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya.

Pemberian BKKA Tahun 2023 turut dipanjangkan kepada guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya serta pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran serta Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman.

BKKA Tahun 2023 juga dibayar kepada pegawai lantikan MySTEP dengan syarat telah dilantik sebelum 17 April 2023 dan masih berkhidmat pada 17 April 2023.

Adakah pegawai yang dilantik pada 3 April 2023 layak menerima BKKA Tahun 2023?

Pegawai yang telah dilantik tetap dan masih berkhidmat pada 17 April 2023 layak menerima BKKA Tahun 2023.

Adakah pegawai lantikan MySTEP yang dilantik bermula pada 1 Januari 2023 dan masih berkhidmat pada 17 April 2023 layak diberi BKKA Tahun 2023? 

Personel MySTEP layak dengan syarat telah dilantik sebelum 17 April 2023 dan masih berkhidmat pada 17 April 2023.

Adakah pegawai lantikan MySTEP yang dilantik bermula pada 1 Januari 2023 dan tamat kontrak pada 1 April 2023 layak diberi BKKA Tahun 2023? 

Pegawai tidak layak kerana tidak lagi berada dalam perkhidmatan pada 17 April 2023.

Adakah pesara yang meninggal dunia sebelum atau pada 17 April 2023 layak diberi BKKA Tahun 2023? 

Layak dan akan dibayar kepada Penerima Pencen Terbitan sebanyak RM350.

Sila lihat senarai penuh soalan lazim melalui pautan berikut;

https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2023/se23032023_faq.pdf