Bapa keji rogol dua anak kandung sejak 2017, salah seorang mangsa berusia 15 tahun hamil
Pemeriksaan ke atas remaja berusia 15 tahun di hospital membongkar perbuatan terkutuk seorang bapa durjana terhadap dua anak kandungnya.
Remaja itu pada mulanya mengadu sakit dada namun pemeriksaan pegawai perubatan mendapati dia sebenarnya sedang hamil.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bapa remaja itu telah ditangkap semalam selepas satu laporan polis dibuat.
Siasatan awal mendapati suspek telah merogol mangsa dan juga adik perempuannya berusia 12 tahun sejak 2017 di sebuah rumah di Jeram.
Suspek didakwa merogol salah seorang mangsa sejak mereka berusia sembilan tahun dan perbuatan keji itu dikatakan kerap kali berlaku di rumahnya.”
Dua beradik itu dipercayai menjadi hamba seks bapa mereka sepanjang tempoh tersebut dan kali terakhir suspek melampias nafsunya adalah pada awal bulan ini.
Mangsa takut untuk bersuara dan memberitahu sesiapa sehingga perbuatan terkutuk bapanya yang berusia 53 tahun itu akhirnya terbongkar kelmarin.
Suspek direman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.