Baru dua minggu jual makanan di mesin layan diri IPR, suri rumah tak sangka mampu raih pendapatan RM2K

Baru dua minggu jual makanan di mesin layan diri IPR, suri rumah tak sangka mampu raih pendapatan RM2K

 

Seorang suri rumah di Rembau mengakui tidak menyangka dia boleh meraih ‘gaji’ yang lumayan dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Kata Nella Dewi Hendrik Sapoan, 28, pada bulan pertama dia meletakkan makanan di mesin layan diri yang disediakan kerajaan, dia mampu meraih sekitar RM2,000 dalam tempoh hanya 15 hari.

Ibarat durian runtuh, suri rumah itu berkata, dia mendapat tahu mengenai inisiatif ditawarkan kerajaan melalui rakan sebelum membuat permohonan pada Mac 2023 bagi menambah pendapatan keluarga.

“Ketika itu, program ini belum tersebar luas, saya berminat untuk mohon, saya cari maklumat dalam laman sesawang, permohonan saya diluluskan pada Jun.

“Sebelum ini, saya jual makanan, tapi secara sambilan dengan pendapatan tak menentu. Tak sangka saya dapat ‘gaji’ lumayan sertai IPR,” katanya memetik laporan Bernama.

Ibu tiga anak itu berkata, mesin layan diri kendaliannya itu diletakkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau dan pada awalnya, jualan perlahan kerana pelajar belum tahu kewujudan mesin layan diri yang menjual pelbagai makanan itu.

“Pelajar ada kelas pagi, saya hantar makanan tengah hari. Tetapi, selepas seminggu sambutan memang hangat, kalau makanan habis mereka hubungi saya untuk tambah.

“Alhamdulillah, boleh bantu tingkat pendapatan keluarga dan suami yang bekerja sebagai penghantar barangan,” katanya lagi seperti dilapor.

Nella Dewi yang turut mempunyai sijil dalam bidang pengendalian makanan berkata nasi lemak, spageti, sandwic dan buah yang dijual menerusi mesin layan diri itu berharga antara RM2 hingga RM5.

“Bagi saya, program ini sangat membantu terutama kepada suri rumah, saya boleh memasak sambil jaga anak di rumah. Kaedah ini juga menjimatkan masa dan mudah.

“Saya hanya isi makanan ke dalam mesin layan diri itu setiap dua kali sehari dan memantau stok menerusi aplikasi khas,” katanya.