Baru hari pertama jual biskut raya di TikTok, Datuk Red raih untung besar cecah RM78 ribu

Baru hari pertama jual biskut raya di TikTok, Datuk Red raih untung besar cecah RM78 ribu

 

Suami kepada penyanyi Adira Suhaimi, iaitu Datuk Red tidak menyangka jualan biskut raya Red Velvet yang dipromosikannya mendapat sambutan hangat sehingga mampu meraih RM78,000 sehari.

Berdasarkan carian TikTok Shop, biskut itu yang dijual pada harga RM35 sebalang telah terjual melebihi 2,300 balang.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu, 46, menafikan telah memperoleh untung besar, sebaliknya menyatakan dia hanya affiliate iaitu ejen yang hanya menerima komisyen.

“Alhamdulillah. Memang betul RM78,000 adalah jumlah kasar penjualan biskut raya dalam TikTok.

“Namun, itu bukan produk saya, saya cuma orang tengah atau affiliate yang hanya diberikan persen mengikut jumlah barang yang saya jual.

“Ini kerja affiliate pertama saya dan selepas ini saya tidak akan ambil tawaran lagi kerana mahu fokus buat produk sendiri. Sekarang saya cari modal,” katanya menurut Kosmo!.

Pada masa sama, Datuk Red turut menegaskan niatnya hanya mahu membuka perniagaan sendiri demi melangsaikan hutang selain menyara diri dan keluarga.

“Saya ingat mahu keluarkan baju T jenama sendiri dan berkemungkinan persiapan dapat dilakukan selepas raya.

“Apabila bermain TikTok, saya rasa macam muda 10 tahun. Jadi, sasaran saya untuk baju T ini adalah kepada trend terkini orang muda.

“Saya ambil pandangan kawan-kawan yang lebih mahir dan cuba untuk jual baju demi kelangsungan hidup serta melunaskan hutang,” jelasnya lagi seperti dilapor.

Sedar akan gesaan netizen mengenai bayaran hutang, lelaki yang mempunyai 11 orang cahaya mata itu turut memaklumkan akan menyelesaikan hutang selepas dapat menjalankan perniagaan.

“Saya sedia maklum ada hutang berjuta, kalau saya langsaikan semua dengan duit yang saya ada ini macam mana mahu berniaga.

“Minta beri saya masa, ini baru seminggu ada orang suruh bayar hutang tetapi bagaimana saya ingin teruskan kehidupan.

“Saya berniaga sebab mahu gandakan duit. Bila sampai masanya saya akan bayar semua hutang. Itu cara saya,” tuturnya.