Baru sejam kenal lelaki di media sosial, ramai kanak-kanak perempuan dah terpedaya untuk berzina

Baru sejam kenal lelaki di media sosial, ramai kanak-kanak perempuan dah terpedaya untuk berzina

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kes membabitkan kanak-kanak perempuan yang terlalu mudah termakan pujukan sehingga ada yang baharu sejam berkenalan dengan lelaki secara dalam talian sudah terpedaya untuk melakukan hubungan seks.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata dalam tempoh sejam itu juga mangsa begitu mudah berkongsi lokasi tempat tinggal mereka dengan pemangsa yang mendorong kepada berlakunya jenayah seksual.

“Sejam terus buat hubungan seks, ini berkenalan di media sosial, ..bagaimana sexual grooming (pengantunan seksual) itu cepat berlaku.

“(Mangsa) tertarik dengan ayat ‘power’ (pemangsa) yang mengundang atau menyebabkan kanak-kanak itu terpedaya.

“Biasanya membina kepercayaan itu cepat, dengan memberikan janji manis dan keseronokan sehingga jenayah seksual itu mudah berlaku.

“Alat telekomunikasi dan internet memudahkan perkara itu berlaku, berkenalan, ‘chatting’, datang rumah ..ada grab (pengangkutan awam) memudahkan pergerakan untuk mereka berjumpa,” katanya.

Beliau ditemui di Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024 di Dewan D’ Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Program bertahun Kesejahteraan Komuniti Tanggungjawab Bersama itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Siti Kamsiah menjelaskan, kanak-kanak antara golongan yang begitu mudah menyukai dan terpengaruh dengan media sosial dan mencari isi kandungan di dunia maya.

Beliau berkata, dalam usaha menangani kes ini, ibu bapa bukan sahaja mendidik sebaliknya mereka perlu mengawal tingkah laku anak-anak terutama dalam penggunaan gajet serta memantau bagaimana anak-anak melayari internet.

Beliau juga mengesahkan Selangor menjadi penyumbang tertinggi kes jenayah seksual berbanding negeri lain sejak tiga tahun kebelakangan ini yang mana 90 peratus membabitkan warga tempatan.

“Selepas Selangor adalah Johor, …semuanya berdasarkan kepadatan penduduk, aktiviti ekonomi. Golongan B40 yang berdepan keadaan ekonomi tidak stabil, keciciran pendidikan, keadaan rumah, perceraian,” katanya.